KUALA LUMPUR, 13 Januari 2025 – Presiden Parti Makkal Sakti Malaysia, RS Thanenthiran, hari ini menyuarakan rasa kecewa dan kemarahannya berhubung isu addendum yang menjadi polemik dalam kes melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak. Dalam sidang media yang penuh emosi, beliau mendakwa keadilan sebenar untuk Datuk Seri Najib sukar dicapai berikutan pelbagai kecacatan dalam perbicaraan dan pendakwaan.
Thanenthiran mempersoalkan tindakan sesetengah pihak, termasuk individu dalam pentadbiran kerajaan, yang mempertikaikan sahnya titah addendum oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16. “Addendum itu adalah kuasa mutlak Agong, seperti yang termaktub dalam undang-undang. Siapa mereka untuk mempertikaikan perkara ini?” soal beliau.
Beliau turut menyatakan kebimbangan terhadap kenyataan seorang setiausaha politik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang menyifatkan titah addendum tersebut telah luput atau tidak sah. “Sebagai rakyat biasa, saya marah. Apa pula perasaan Datuk Seri Najib yang telah banyak berjasa kepada negara tetapi kini menjadi mangsa fitnah dan aniaya?” katanya.
Menurut Thanenthiran, titah addendum itu, yang sepatutnya dikeluarkan oleh Istana Pahang selepas Yang di-Pertuan Agong ke-16 kembali ke negeri tersebut, telah disorok oleh pihak tertentu. Beliau mendakwa bahawa dokumen tersebut telah diterima oleh Peguam Negara pada 29 Januari 2024 tetapi tiada tindakan diambil, sekaligus mencetuskan persoalan mengenai integriti sistem perundangan.
Parti Makkal Sakti Malaysia menyeru kerajaan Madani supaya menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) untuk menyiasat isu ini. “RCI perlu ditubuhkan untuk memastikan siapa sebenarnya yang menyembunyikan titah addendum tersebut, yang telah diakui kewujudannya di Mahkamah Rayuan,” tambah beliau.
Beliau turut meluahkan kekesalannya terhadap sistem yang dilihat semakin celaru, di mana hakim sendiri dilaporkan keliru dengan apa yang berlaku. “Kedaulatan undang-undang perlu dipertahankan dan kesetiaan kepada raja dan negara harus diperkukuhkan,” tegasnya.
Thanenthiran mendesak agar kerajaan memberikan keadilan sewajarnya kepada Datuk Seri Najib, sama ada melalui pembebasan atau tahanan rumah, seperti yang terkandung dalam titah addendum tersebut. Beliau percaya tindakan ini penting untuk mengembalikan keyakinan rakyat terhadap institusi kehakiman dan kerajaan.
Dengan menutup sidang media, beliau mengingatkan bahawa nasib buruk yang menimpa Datuk Seri Najib boleh menjadi petanda kepada apa yang mungkin menimpa rakyat biasa jika isu seperti ini terus diabaikan. “Apa akan jadi kepada kita jika seorang bekas Perdana Menteri pun tidak mendapat keadilan?” katanya penuh kesal.