Kuala Lumpur, 15 Januari 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) mendedahkan insiden ngeri yang dialami seorang mangsa pinjaman ceti haram (Ahlong). Mangsa, yang dikenali sebagai Azman, melalui detik mencemaskan apabila diugut, dimanipulasi, dan hampir diculik oleh individu yang disyaki wakil Ahlong.

Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, Azman terperangkap dalam perangkap Ahlong selepas tertarik dengan tawaran pinjaman melalui pautan di media sosial. Mangsa memulakan urusan dengan memberikan dokumen peribadi, yang kemudiannya dimanipulasi oleh sindiket ini. “Mangsa pada awalnya diberikan pinjaman RM50,000, namun sehingga kini, beliau telah membayar hampir RM450,000 dan masih diugut untuk membayar tambahan RM650,000,” jelas beliau.

Situasi menjadi semakin kritikal apabila Azman didatangi dua lelaki bertatu naga, dipercayai wakil Ahlong, ketika berada di tempat letak kereta. Lelaki-lelaki ini cuba memaksa Azman masuk ke dalam kenderaan mereka dengan alasan untuk mendapatkan bayaran tambahan. Akibat pergelutan itu, baju Azman terkoyak, tetapi beliau berjaya melarikan diri dan mendapatkan bantuan daripada pihak keselamatan berhampiran.

Lebih membimbangkan, Azman turut menerima ugutan melalui aplikasi WhatsApp, termasuk ancaman terhadap keselamatan ahli keluarganya. “Mereka mengetahui lokasi anak-anak saya bersekolah, tempat kerja isteri saya, dan kediaman ahli keluarga saya yang lain,” kata Azman, yang kini hidup dalam ketakutan.

MHO, yang sejak 2016 aktif memperjuangkan hak asasi manusia, kini membantu Azman mendapatkan perlindungan dan keadilan. Mereka juga menyeru pihak berkuasa untuk mengambil tindakan tegas terhadap sindiket Ahlong ini. “Kejadian ini jelas menunjukkan keperluan mendesak untuk memperketat penguatkuasaan undang-undang terhadap Ahlong dan melindungi mangsa-mangsa yang teraniaya,” ujar Dato’ Hishamuddin.

Azman telah membuat laporan polis, namun sindiket ini masih berani mengancamnya dengan kenyataan bahawa tindakan undang-undang tidak akan memberikan kesan yang lama. Mangsa berharap agar pihak berkuasa bertindak segera supaya sindiket ini dapat dihukum setimpal dengan kejahatan mereka.

MHO juga menggesa masyarakat untuk berhati-hati dengan tawaran pinjaman yang mencurigakan, khususnya melalui media sosial. “Kami akan terus menyokong mangsa seperti Azman dan mendesak tindakan lebih tegas diambil agar tiada lagi individu menjadi mangsa kekejaman Ahlong,” kata Dato’ Hishamuddin.

Insiden ini sekali lagi membuka mata masyarakat tentang bahayanya sindiket pinjaman haram dan keperluan untuk membanterasnya secara menyeluruh demi keselamatan semua pihak.

Leave a Reply