KUALA LUMPUR, 15 Januari 2025 – Isu kegagalan sebuah syarikat pengendali umrah menerbangkan lebih 300 jemaah mencetuskan ketegangan sehingga memerlukan campur tangan Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO). Sesi mediasi yang diadakan hari ini bertujuan mencari jalan penyelesaian antara pihak syarikat dan jemaah yang terkesan.

Menurut Dato’ Hishamuddin Hashim, Setiausaha Agung MHO, pihaknya hanya bertindak sebagai orang tengah tanpa berpihak kepada mana-mana pihak. “Apa yang kita harapkan adalah solusi menang-menang. Yang paling penting, jemaah yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka perlu mendapatkan wang mereka semula,” katanya dalam sidang media.

Peguam yang mewakili Syarikat, Iman Norhizam, menyatakan bahawa syarikat tersebut menawarkan tiga pilihan penyelesaian. Antaranya adalah bayaran bantuan sehingga RM5,000 bagi kos logistik dan penginapan, pembayaran balik penuh termasuk kos visa dalam tempoh tiga minggu, dan jadual penerbangan baharu bagi jemaah yang masih mahu meneruskan umrah. Bagaimanapun, tiada tarikh penerbangan yang ditetapkan buat masa ini.

Ketegangan timbul apabila sebahagian jemaah tidak berpuas hati dengan tawaran tersebut. Beberapa jemaah mengemukakan laporan polis sebelum sesi mediasi berlangsung, mengakibatkan pihak Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Selangor bertindak menahan wakil syarikat tersebut sekitar jam 6.45 petang di Ibu Pejabat Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) di Kuala Lumpur.

Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan penahanan itu, dan polis turut merampas dokumen berkaitan dalam serbuan di pejabat syarikat berkenaan di Sepang.

Kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan, yang melibatkan kesalahan penipuan. Penahanan ini dibuat bagi memastikan siasatan dijalankan secara menyeluruh.

Situasi semakin panas apabila perbincangan antara jemaah dan wakil syarikat bertukar tegang. Beberapa jemaah mempertikaikan keupayaan syarikat untuk memenuhi janji pampasan, dengan ada yang mendesak agar tindakan lebih tegas diambil.

MHO mengingatkan bahawa jemaah bebas mengambil tindakan lanjut sama ada melalui saluran sivil atau jenayah. “Tindakan tegas perlu diambil terhadap pengendali umrah yang gagal menunaikan tanggungjawab mereka agar insiden seperti ini tidak berulang,” tambah Dato’ Hishamuddin.

Kes ini menimbulkan persoalan mengenai pengawalan industri umrah dan perlindungan terhadap jemaah. Sementara menunggu hasil siasatan, nasib ratusan jemaah ini terus menjadi tanda tanya.

Leave a Reply