PUTRAJAYA – Twincity Marathon 2025, edisi ke-10 yang penuh bersejarah, telah melabuhkan tirainya dengan kejayaan gemilang, menarik lebih 13,000 pelari dari dalam dan luar negara.

Acara larian yang telah menjadi tradisi di Malaysia ini juga memberi penghormatan kepada Cyberview Sdn Bhd, yang telah menjadi pencetus inspirasi kepada penganjuran Twincity Marathon sejak pertama kali diadakan pada 2014.

Dengan menawarkan pelbagai kategori larian seperti 42km, 21km, 12km, dan 5km, edisi kali ini mencatat penyertaan tertinggi dalam sejarah Twincity Marathon, mengukuhkan lagi statusnya sebagai acara larian yang paling dinantikan di negara ini.

Sejak sedekad yang lalu, lebih 50,000 pelari telah menyertai acara ini, menjadikannya sebagai platform utama yang menyatukan komuniti larian dan mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan rakyat Malaysia.

Twincity Marathon 2025 turut mendapat sokongan penuh daripada Majlis Perbandaran Sepang, Perbadanan Putrajaya, dan Avisena Specialist Hospital, Shah Alam yang berperanan sebagai Rakan Kesihatan Rasmi acara ini.

Dalam pada itu, Putrajaya Sport Tourism Expo (STEX) yang berlangsung pada 10 dan 11 Januari turut menarik lebih 20,000 pengunjung dan membabitkan 40 jenama serta syarikat sebagai vendor, menambah kemeriahan acara tahunan ini.

Penasihat Ten Senses (M) Sdn Bhd merangkap penganjur Twincity Marathon Datuk Najib Ibrahim berkata, pihaknya amat menghargai sokongan padu daripada rakan kerjasama seperti Cyberview yang telah mengilhamkan acara ini, serta Avisena Specialist Hospital yang telah bersama sejak 2024.

“Tidak dilupakan, Boom Beverage Sdn Bhd yang memastikan peserta kekal bertenaga sepanjang perlumbaan dengan minuman isotonik BOOM+.

“Kejayaan ini adalah hasil sokongan yang luar biasa daripada penaja, peserta, dan seluruh komuniti larian,” katanya.

Sebagai acara larian ikonik, Twincity Marathon tidak hanya sekadar pertandingan, tetapi juga simbol semangat kesukanan dan perpaduan.

Kejayaan edisi ke-10 ini menambah bukti bahawa ia adalah acara yang mesti disertai setiap tahun oleh pencinta sukan dan gaya hidup sihat.

Penganjur dengan sukacitanya mengumumkan bahawa Twincity Marathon 2026 akan berlangsung pada 25 Januari 2026, dan menjemput semua peminat sukan larian dari dalam dan luar negara untuk turut serta.

Bersama-sama, kita akan merasai detik-detik penuh keseronokan dan pengalaman larian yang pasti tidak akan dilupakan.

Untuk maklumat lanjut, layari laman web rasmi twincitymarathon.com dan ikuti media sosial @twincitycyberjayamarathon di Instagram, atau Twincity Marathon di Facebook dan TikTok.

By Cynthia

Leave a Reply