oplus_4194336

KUALA LUMPUR, 19 Januari 2025 – Kelab Veteran Komando Malaysia (KVKM) mengutuk keras tindakan dua pertubuhan tidak berdaftar, iaitu Persatuan Pembela Pejuang Malaysia (PPPM) dan Pertubuhan Suara Patriotik Rakyat Malaysia (PSPRM), yang menyebarkan tohmahan terhadap Ketua Pengarah dan Jabatan Hal Ehwal Veteran (JHEV) ATM berhubung pengiraan pencen Veteran ATM. Presiden KVKM, Leftenan Kolonel Ghazali Abu (Bersara), menegaskan bahawa kedua-dua pertubuhan tersebut tidak berdaftar di bawah Akta Veteran 2012 atau Kementerian Pertahanan.

Menurutnya, tindakan mereka mengundang kekeliruan dan mencetuskan ketegangan dalam kalangan veteran, sedangkan isu-isu berkaitan pencen telah dijelaskan oleh JHEV menerusi saluran rasmi. KVKM juga mempersoalkan tindakan PPPM yang menggesa perhimpunan tanpa persetujuan rasmi JHEV, seterusnya menekan veteran lain agar menghadirinya dengan ugutan bahawa ketidakhadiran bermaksud persetujuan terhadap tiada tunggakan pencen.

Pertemuan pada 20 Disember 2024 antara JHEV dan wakil PPPM juga tidak membuahkan hasil kerana pihak PPPM berkeras mahu formula pengiraan pencen menggunakan kadar gaji maksimum Jadual Gaji Minimum Maksimum Perkhidmatan Awam, yang di luar bidang kuasa JHEV. Ketua Pengarah JHEV menolak permintaan untuk mengadakan pertemuan kedua pada 23 Disember 2024, memandangkan pihak PPPM gagal mendapat kelulusan rasmi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi perhimpunan tersebut.

“Keputusan JHEV untuk tidak melayan pertemuan susulan adalah tepat, bagi mengelakkan kekecohan dan membolehkan tumpuan diberikan kepada sesi libat urus dengan persatuan veteran berdaftar. Malah, JHEV telah menyediakan kalkulator pengiraan pencen Skim Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) yang boleh diakses di portal rasmi jabatan,” jelas Ghazali.

KVKM turut mengkritik langkah PPPM dan PSPRM yang menubuhkan laman media sosial khas bagi menyebarkan fitnah dan membangkitkan kebencian terhadap JHEV dan Ketua Pengarahnya. Ghazali menyeru agar kedua-dua pertubuhan ini disiasat oleh Pendaftar Pertubuhan (ROS) kerana bertindak melangkaui batas sebagai organisasi tidak berdaftar.

“JHEV dan Kementerian Pertahanan adalah agensi penting yang memperjuangkan kebajikan veteran. Tindakan kedua-dua pertubuhan ini hanya merosakkan imej veteran secara keseluruhan. Kami mahu mereka menghentikan tindakan provokatif yang menjejaskan usaha persatuan berdaftar,” tambahnya.

KVKM berharap isu ini dapat diselesaikan melalui saluran yang betul dan menyokong tindakan JHEV untuk memperkasakan kebajikan veteran menerusi kerjasama dengan entiti sah. Veteran ATM disarankan untuk terus merujuk JHEV bagi sebarang kekeliruan berhubung isu pencen tanpa perlu terlibat dengan pihak yang tidak berautoriti.

Laporan polis telah dibuat oleh KVKM sebagai langkah tegas memastikan kredibiliti JHEV terus terpelihara dan kebajikan veteran dilindungi daripada manipulasi mana-mana pihak tidak bertanggungjawab.

Leave a Reply