KUALA LUMPUR – Melancarkan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 sempena Aidilfitri yang akan tiba, gedung tekstil terkemuka, Jakel tampil memperkenalkan 10 duta terkenal bagi mempromosikan koleksi pakaian Aidilfitri tahun ini.

Langkah ini bertujuan untuk mengukuhkan lagi kedudukan Jakel dalam menawarkan pelbagai pilihan pakaian berkualiti untuk setiap peringkat umur.

Antara duta yang dipilih untuk memperagakan produk Jakel 2025 termasuklah selebriti terkenal seperti Fattah Amin, Amira Othman, Nabil Ahmad bersama keluarganya, Cik Epal, Elly Mazlein, Anzalna Nasir bersama keluarga, Senariounion, serta tiktoker Sallywho bersama keluarga, termasuklah Upin & Ipin.

Pengarah Urusan Kumpulan Jakel, Datuk Seri Mohamed Faroz Mohamed Jakel berkata, setiap duta ini akan mempromosikan rekaan pakaian terkini yang mengutamakan kualiti fabrik dan keselesaan.

“Pakaian yang ditawarkan tahun ini lebih berkualiti, menggunakan fabrik yang lebih tebal tetapi tetap selesa, tidak panas, cepat kering dan sangat ‘breathable’ atau kebolehnafasan.

“Selain itu, jahitan pada pakaian juga lebih kemas dan rapi,” katanya ketika pelancaran kempen berkenaan yang diadakan di Jakel Mall Kuala Lumpur, hari ini.

Mohamed Faroz berkata, koleksi tahun ini direka untuk memenuhi keperluan pelbagai golongan, daripada kanak-kanak, remaja, hingga golongan dewasa, termasuk ibu dan ayah.

Dengan harga yang berpatutan, Jakel mahu memastikan pelanggan dapat menikmati produk berkualiti tanpa mengorbankan bajet.

“Kami mahu setiap pelanggan berpuas hati dengan pembelian mereka, dan semestinya pengalaman membeli-belah di Jakel akan menjadi kenangan manis, seiring dengan tagline kami, ‘Jakel, Barulah Raya’,” katanya lagi.

Bagi menyemarakkan lagi kempen ini, Jakel turut memperkenalkan rekaan pakaian yang lebih segar dengan pilihan warna terkini seperti Emerald Green, Burgundy, Dark Pink, Fuchsia, dan Powder Blue.

Selain itu, Jakel turut menawarkan harga istimewa dengan pakaian seperti Baju Melayu Madani yang dijual pada harga RM99 sepasang, lengkap dengan sehelai samping percuma bernilai RM49.

Baju Melayu Fattah Amin pula ditawarkan pada harga RM149, termasuk samping percuma bernilai RM99.

Sementara itu, Mohamed Faroz turut menyasarkan jualan yang tinggi untuk tahun ini, dengan peningkatan sebanyak 20 hingga 30 peratus berbanding tahun lalu.

Bagi mencapai matlamat berkenaan, Jakel akan meningkatkan pengeluaran pakaian sebanyak satu juta pasang untuk ibu dan bapa, serta 1.5 juta pasang pakaian sedondon.

“Sebagai persediaan, kami juga menyediakan lebih daripada 2,700 ruang parkir, surau, dan tandas yang selesa untuk kemudahan pelanggan yang berkunjung ke gedung Jakel,” katanya.

Dengan kempen Raya Mendonia Bersama Jakel 2025 ini, Jakel berharap dapat menawarkan lebih banyak pilihan kepada pelanggan untuk menyambut Aidilfitri dengan gaya dan keselesaan, serta mencipta pengalaman membeli-belah yang tidak akan dilupakan.

By Cynthia

Leave a Reply