KUALA LUMPUR, 24 Januari 2025 – Ketua UMNO Bahagian Bukit Bintang, Datuk Tengku Azman hari ini menyentuh isu penggunaan istilah “ham” dalam produk makanan yang tular baru-baru ini, terutama melibatkan sandwich “chicken ham” yang dijual di rangkaian kedai KK Mart, Universiti Malaya.

Beliau menegaskan bahawa istilah tersebut, secara definisi, merujuk kepada daging babi atau khinzir, yang menimbulkan kekeliruan dan rasa tidak selesa dalam kalangan pengguna Muslim.

“Walaupun pengeluar menyatakan bahawa ia adalah ‘chicken ham’, penggunaan istilah ‘ham’ itu sendiri boleh mencetuskan keraguan dan kekeliruan kepada orang Islam,” jelas beliau. Menurut Tengku Azman, isu utama bukanlah sekadar penggunaan nama, tetapi melibatkan sensitiviti masyarakat Islam dan pentingnya pelabelan yang betul.

Beliau turut menyokong kenyataan Ketua Pemuda UMNO, Dr. Akmal, yang menegur perkara ini.

“Dr. Akmal ada asas dalam kritikannya kerana ia melibatkan tanggungjawab pemimpin Islam untuk menegur perkara yang boleh menimbulkan keraguan. Sensitiviti seperti ini tidak boleh dipandang remeh,” katanya ketika ditemui wartawan AATV di pejabatnya di Kuala Lumpur hari ini.

Bagaimanapun, komen yang dibuat oleh Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, terhadap teguran Dr. Akmal turut mendapat perhatian Tengku Azman. Beliau mempersoalkan tindakan menteri tersebut yang melabel Dr. Akmal sebagai “lalat” dan menyifatkannya sebagai penghinaan yang tidak sepatutnya dilakukan oleh seorang pemimpin. “Tidak kira setinggi mana kedudukan kita, kita harus menghormati orang lain, lebih-lebih lagi jika perkara itu melibatkan asas agama,” katanya.

Tengku Azman juga menekankan pentingnya menghormati kepercayaan semua kaum dalam konteks masyarakat majmuk Malaysia. Menurutnya, pemimpin dalam kerajaan perpaduan perlu bersikap toleransi dan bertanggungjawab dalam menangani isu-isu sensitif. “Kita tidak pernah mencabar adat dan kepercayaan kaum lain, jadi adalah wajar untuk perkara seperti ini ditangani secara profesional, tanpa menimbulkan provokasi,” tambah beliau.

Beliau turut menyarankan agar pihak berwajib seperti JAKIM memastikan proses pensijilan halal merangkumi semua aspek, termasuk pelabelan dan rantaian proses pengeluaran produk makanan. “Halal bukan sekadar komponen bahan, tetapi juga keseluruhan proses. Ini termasuk bagaimana sesuatu produk itu dilabelkan untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya.

Tengku Azman juga mengingatkan bahawa isu ini boleh diselesaikan dengan cara yang lebih harmoni. Beliau menyeru semua pihak untuk menghormati sensitiviti agama dan mengekalkan toleransi demi perpaduan negara. “Jika kita terus saling provokasi, perpaduan yang kita bina bersama boleh tergugat. Adalah lebih baik untuk semua pihak berlapang dada dan menyelesaikan isu ini dengan cara terbaik,” katanya mengakhiri kenyataannya.
#DatukTengkuAzman #HamChicken #halal #KKMart #UMNOBukitBintang

Leave a Reply