CYBERJAYA – Kira- kira 150 pelajar tahfiz dan golongan asnaf dirai dalam satu majlis iftar dan sumbangan hari raya anjuran Yayasan Pekema (Persatuan Pengimpot dan Peniaga Kenderaan Melayu Malaysia) di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah semalam.

Presiden Pekema, Datuk Mohamed Nazari Noordin berkata, program tersebut merupakan acara tahunan dan sebahagian daripada aktiviti tanggungjawab sosial korporat (CSR) Yayasan Pekema.

“Majlis Seribu Keberkatan dan Kerahmatan Iftar Yayasan Pekema yang dianjurkan ini khusus untuk membolehkan kami menyantuni anak-anak asnaf dan tahfiz yang dikasihi sekalian.

“Pekema telah mengambil pendekatan secara berterusan dengan menganjurkan program Ramadan seumpama ini pada setiap tahun.

“Usaha seperti ini adalah penting bagi mengeratkan silaturrahim dan mengukuhkan ukhuwah sesama kita sesuai dengan tuntutan Islam,” katanya pada majlis tersebut.

Sementara itu, Nazari turut berharap, sumbangan daripada Yayasan Pekema itu diharapkan ia dapat meringankan sedikit beban dan memberikan keceriaan kepada anak-anak ini ketika menyambut Ramadan dan Syawal yang bakal menjelang.

Terdahulu, sumbangan duit raya berjumlah RM100 termasuk beg sekolah itu telah diserahkan kepada 150 pelajar tahfiz dan asnaf yang terdiri daripada empat pertubuhan.

Ia melibatkan anak-anak asnaf dari Sekolah Kebangsaan (SK) Cyberjaya, Maahad Tahfiz Al-Husni, Maahad Tahfiz Miftahul Ulum (Banat) dan Madrasah Quran Darussalam (Mqds) Banat.

Selain itu, Yayasan Pekema turut menyerahkan sumbangan sebanyak RM10,000 kepada Masjid Raja Haji Fi Sabilillah, Cyberjaya sebagai tanda sokongan dalam memperkukuh peranan masjid sebagai pusat ibadah dan kebajikan masyarakat.

Turut dihadiri dalam majlis itu Sahibul Fadhilah Syeikh Abdul Karim Al Makki bagi menyampaikan tazkirah pendek kepada para tetamu.

“Semoga usaha ini membawa keberkatan dan kegembiraan kepada semua yang menerima.

“Ramadan adalah bulan berkongsi rezeki dan mengeratkan ukhuwah,” katanya.

Leave a Reply