KAJANG: Seramai 100 penerima asnaf dari Kampung Sungai Sekamat, Kajang, menerima bantuan barangan dapur bernilai RM180 setiap satu dalam sebuah majlis berbuka puasa yang dianjurkan oleh Kajang Plaza Medical Centre (KPMC).
Program itu juga hasil kerjasama dengan Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS).
Bantuan itu diberikan bagi meringankan beban golongan asnaf dalam membuat persiapan menjelang Hari Raya Aidilfitri.
Penyerahan sumbangan tersebut disempurnakan oleh Presiden Dunia Melayu Dunia Islam Negeri Selangor yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KPMC, Datuk Saroni Judi.
Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) memainkan peranan sebagai penaja utama dalam inisiatif ini, dengan sokongan penuh daripada Dunia Melayu Dunia Islam (DMDI) dan KPMC.
DMDI, yang kini melibatkan 23 negara di seluruh dunia, merupakan organisasi yang dipimpin oleh Yang Dipertua Negeri Melaka selaku Presiden.
Usaha ini selari dengan matlamat membantu masyarakat yang memerlukan, khususnya golongan asnaf, selain memperkukuh semangat perpaduan dan kebersamaan dalam bulan Ramadan yang penuh keberkatan.
Dalam pada itu, Saroni menyeru kepada syarikat-syarikat korporat yang mempunyai bajet untuk melaksanakan aktiviti CSR.
“Kami mengalu-alukan sumbangan dalam bentuk bantuan kepada anak-anak yatim, ibu tunggal, atau bantuan untuk program-program seperti shopping raya bersama anak-anak yatim dan juga penyediaan barang keperluan sekolah untuk mereka yang memerlukan,” katanya