GOMBAK – Landskap politik anak muda di Gombak bakal menyaksikan satu babak baharu apabila Angkatan Muda Keadilan (AMK) Gombak mengemukakan barisan kepimpinan terbaharu dengan komitmen tinggi untuk meneruskan perjuangan reformasi yang diasaskan sejak 1999.
Mantan Ketua AMK Gombak, Saudara Husaini Yunos, telah menyatakan sokongan padunya kepada barisan calon baharu yang diketuai oleh Saudara Abdul Haris Harahap. Dalam satu majlis moreh bersama aktivis muda Gombak, Husaini menegaskan bahawa beliau yakin kepimpinan baharu ini mampu menyambung legasi perjuangan AMK di kawasan tersebut.

Barisan ini hadir dengan visi segar, berpegang teguh pada prinsip keadilan dan reformasi, serta berazam menjadikan AMK Gombak sebagai peneraju utama dalam menyokong Kerajaan Perpaduan MADANI pimpinan YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan kepimpinan YAB Dato’ Seri Amirudin Shari sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Haris Harahap, calon Ketua AMK Gombak, menekankan bahawa Gombak sentiasa menjadi pusat gerakan perubahan politik. “Kami akan memperkukuh hubungan dengan akar umbi, memperkasakan suara anak muda, dan menjadikan Gombak contoh politik progresif,” ujarnya.

Barisan calon ini turut dianggotai oleh Hayee Zailani (Timbalan Ketua) dan Danial Amsyar (Naib Ketua), yang membawa gabungan pengalaman, semangat juang, dan idealisme muda. Mereka bertekad bukan sekadar memenangi jawatan, tetapi memikul amanah memperjuangkan aspirasi rakyat.


Dengan tema “Penerus Legasi, Harapan Gombak”, barisan ini mengajak seluruh anggota AMK Gombak bersatu memastikan kesinambungan perjuangan yang lebih inklusif dan berteraskan reformasi.
