SUBANG JAYA – Suasana Aidilfitri bakal lebih meriah tahun ini apabila Ratu Irama Malaysia dan Etnik Kreatif, Noraniza Idris, menghadiahkan sebuah konsert percuma bertemakan kebudayaan dan kekeluargaan menerusi KONSERT EH RAYA 2025 yang akan berlangsung pada 26 April (Sabtu) dari jam 9 pagi hingga 9 malam di Summit USJ.
Menggabungkan elemen muzik tradisional, persembahan seni budaya dan aktiviti komuniti, konsert ini bukan sekadar hiburan, tetapi juga platform memperkukuh warisan dan jati diri bangsa.
Noraniza Idris, yang turut memegang watak utama “Che Ani”, akan mengacarakan konsert selama dua jam bersama gandingan artis lain seperti Azmir Arif, Helmi Gimmick, dan Siti Sarah.
Berbeza daripada konsert biasa, Konsert Eh Raya 2025 mengetengahkan konsep rumah terbuka Aidilfitri dalam bentuk sketsa, nyanyian dan tarian, menghidupkan suasana penuh nostalgia dan kekitaan.

Penonton akan dihiburkan dengan lagu-lagu raya seperti “Rewang Raya” dan “Halal Bihalal”, diiringi lebih 60 penari daripada Noraniza Idris Dance Academy (NIDA TARI).
Sebagai sebahagian usaha memasyarakatkan seni tradisional, konsert ini turut menampilkan pelbagai aktiviti budaya seperti Bengkel Zapin & Ronggeng Selangor, Pertandingan tarian kreatif, Rewang Raya, Malam 7 Likur, Pagi 1 Syawal dan Perarakan makanan warisan Bugis.
Lebih menarik, pengunjung juga bakal menyaksikan pratonton eksklusif tarian warisan Negeri Selangor sempena Kempen Tahun Melawat Selangor 2025, hasil pembangunan modul budaya oleh Noraniza sendiri melalui akademi beliau di Shah Alam.
Acara ini juga membuka ruang kepada usahawan tempatan mempromosi produk mereka melalui pameran, demonstrasi, serta penyertaan dalam jamuan gastronomi warisan Bugis semuanya disediakan secara percuma dalam pakej promosi khas sempena konsert ini.

Penganjur bersama, Jeffri Iman Hoodi dari NIPV Management berkata, pihaknya menjangkakan lebih 5,000 pengunjung dijangka hadir.
“Objektif utama acara ini adalah untuk menghidupkan semula semangat Aidilfitri dalam suasana hiburan mesra keluarga yang memadukan elemen tradisional dan moden,” katanya.
Sementara itu, Noraniza berkata, beliau amat teruja kerana dapat menjayakan konsert ini bersama rakan-rakan artis lain, yang pastinya bakal menghiburkan pengunjung dengan pelbagai persembahan menarik.
“Konsert ini adalah ruang untuk memperkenalkan semula keindahan muzik etnik kreatif yang saya perjuangkan sejak dahulu.
“Saya berharap ia mampu menarik minat generasi muda dan menyemarakkan kembali warisan seni kita,” katanya yang juga Timbalan Pengerusi Persatuan Tatihseni Malaysia.
Majlis pelancaran rasmi konsert berkenaan akan disempurnakan oleh Yang Mulia Tengku Dato’ Dr. Hishammuddin Zaizi YAM Tengku Bendahara Azman AlHaj, Penaung NIDA.
Konsert EH Raya 2025 dianjurkan oleh Persatuan Tatihseni Malaysia, dengan kerjasama Summit USJ (penaja lokasi), Tourism Selangor (penyokong promosi negeri), Dewan Bahasa dan Pustaka (penaja hadiah) serta kolaborasi bersama CHE ANI PREMIUM, NAJAH, dan NIDA.