AYER KUNING, 22 April 2025 – Wanita UMNO Malaysia menyifatkan tindakan seorang bekas pemimpin Wanita UMNO negeri yang mengumumkan penyertaan ke dalam PAS sebagai satu strategi perang saraf terdesak oleh pihak lawan menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Ayer Kuning.

Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari berkata, langkah tersebut dilihat sebagai usaha terakhir pihak lawan yang buntu dalam meraih sokongan pengundi dan cuba melemahkan moral jentera Barisan Nasional (BN), khususnya Wanita UMNO.

“Namun begitu, tindakan tersebut tidak sedikit pun melemahkan semangat kami. Sebaliknya, ia menyuntik semangat baharu dan memperkukuhkan iltizam jentera Wanita UMNO untuk bekerja lebih gigih demi memastikan kemenangan calon BN,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Beliau turut menegaskan bahawa kekuatan pasukan Jalinan Rakyat (JR), yang merupakan tulang belakang gerak kerja Wanita UMNO, terus menjadi ancaman besar kepada pihak lawan.

“Gerak kerja yang tersusun, kehadiran kukuh di akar umbi serta pendekatan mesra rakyat menjadikan pasukan JR semakin diterima dan diyakini oleh pengundi, terutamanya wanita,” katanya.

Dalam pada itu Rosni turut menyuarakan keyakinan bahawa pengundi di DUN Ayer Kuning akan terus memberikan mandat kepada calon BN demi kestabilan dan kemakmuran negeri serta negara secara keseluruhan.

PRK DUN Ayer Kuning kini memasuki fasa kritikal kempen dengan semua parti berusaha keras untuk meraih sokongan pengundi sebelum hari pengundian.

Leave a Reply