KUALA LUMPUR – Suasana politik Cabang Keadilan Bandar Tun Razak menyaksikan perkembangan baharu apabila Jonathan Vela diumumkan sebagai Naib Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) dalam Pemilihan Parti 2025 yang berlangsung baru-baru ini.
Dalam ucapan penuh emosi selepas kemenangan diumumkan, Jonathan menzahirkan rasa syukur atas kepercayaan yang diberikan oleh para ahli serta menghargai usaha seluruh jentera kempen yang telah bertungkus lumus sepanjang tempoh pemilihan.
“Terima kasih kepada semua yang telah bekerja keras menjayakan kempen ini, serta kepada setiap ahli yang telah memberikan kepercayaan kepada saya. Sokongan anda amat saya hargai dan tidak akan saya persiakan,” katanya.
Jonathan turut menegaskan bahawa kemenangan tersebut bukan sekadar pencapaian peribadi, tetapi simbol kepercayaan akar umbi terhadap perjuangan berteraskan keadilan dan inklusiviti.
Beliau menyeru semua ahli untuk terus memperkukuhkan perpaduan dan meneruskan perjuangan reformasi parti, sama ada di peringkat cabang mahupun nasional.
“Saya berikrar untuk memikul amanah ini dengan penuh integriti, ketelusan dan komitmen. Perjuangan kita masih panjang, tetapi bersama-sama, kita mampu merealisasikan impian rakyat,” katanya.
Dalam masa yang sama, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Azman Abidin yang berjaya mempertahankan jawatan Ketua Cabang tanpa bertanding, serta Kuek Po Guan yang menang dengan majoriti meyakinkan.
“Kemenangan mereka membuktikan keyakinan berterusan ahli terhadap kepimpinan yang berwibawa dan berdaya saing.
“Saya amat menantikan kerjasama erat bersama mereka demi memacu cabang ini ke arah yang lebih gemilang,” ujar beliau.
Jonathan juga menyentuh fenomena mengejutkan dalam pemilihan kali ini, apabila ramai tokoh lama tewas kepada muka baharu, menggambarkan wajah demokrasi tulen dalam PKR.
“Ini jelas membuktikan bahawa Parti Keadilan Rakyat adalah sebuah parti yang benar-benar demokratik.
“Ahli mempunyai hak sepenuhnya untuk memilih pemimpin yang benar-benar turun ke akar umbi, yang bekerja bersama rakyat tanpa mengira bangsa atau agama,” katanya.
Kemenangan Jonathan Vela dilihat sebagai suntikan semangat baharu dalam politik tempatan dan dijangka membuka lembaran baharu dalam misi memperjuangkan keadilan serta kesejahteraan rakyat di Bandar Tun Razak.