KUALA LUMPUR – Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, YB Chang Lih Kang hadir menyaksikan majlis menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara Central Corporate Engineering Sdn Bhd (CCE) dan Oasis Xtract Sdn Bhd, menandakan satu langkah penting ke arah kerjasama strategik dalam bidang bioteknologi hijau dan kelestarian alam sekitar.

Menurut beliau, MoU ini bukan sekadar satu perjanjian rasmi, malah mencerminkan visi bersama yang selari dengan agenda Kerajaan melalui Kerangka Ekonomi MADANI serta Dasar Bioteknologi Negara 2.0 oleh MOSTI.

Ia bertujuan memperkukuh ekosistem inovasi negara serta mempercepat pembangunan teknologi hijau dan penyelesaian bioekonomi sirkular berimpak tinggi.

“Saya mengucapkan tahniah kepada kedua-dua syarikat atas inisiatif ini.

“Kerjasama ini memberi nilai tambah kepada daya tahan ekonomi negara dan memperkukuh pembangunan teknologi tempatan,” katanya dalam ucapan perasmiannya.

YB Chang turut berkongsi pengalamannya melawat fasiliti CCE di Semenyih tahun lalu, dan melahirkan rasa kagum terhadap teknologi penternakan alga mereka yang tidak bergantung kepada cahaya matahari.

Katanya, sistem penternakan heterotrofik dalam tangki tertutup membolehkan penghasilan alga berkualiti tinggi secara konsisten, menjadikannya satu inovasi penting dalam industri bioteknologi tempatan.

“Kerjasama ini juga membuka ruang kepada Oasis Xtract untuk mengekstrak minyak alga bernilai tinggi dengan potensi aplikasi dalam sektor biofuel, biodiesel, kosmetik dan farmaseutikal.

“Ini sekaligus membentuk satu ekosistem alga yang bersepadu daripada penghasilan sehingga kepada pengekstrakan bernilai tambah.

“MOSTI komited untuk menyokong kerjasama strategik seperti ini kerana ia mampu mempercepat transformasi sosio-ekonomi melalui sains, teknologi dan inovasi. Inisiatif seperti ini bukan sahaja menjana peluang pekerjaan, tetapi juga membuka ruang kepada lebih ramai teknousahawan dan bakat STEM untuk berkembang dalam bidang hijau,” tambah beliau.

Beliau turut berharap agar kerjasama ini menjadi contoh kepada kerjasama inovasi masa hadapan yang mampu mengangkat nama Malaysia di persada global dalam teknologi hijau dan kelestarian.

Majlis menandatangani MoU ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekosistem bioekonomi yang mampan dan memacu Malaysia ke arah negara berteknologi tinggi dan mesra alam.

Leave a Reply