YAKEB Lancar #TabungX, Galakan Orang Ramai Bantu Bekas Atlet

KUALA LUMPUR, 22 April 2025 – Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) terus memainkan peranan penting dalam menjaga kebajikan bekas atlet negara, termasuk G. Saravanan, pemenang pingat emas acara lumba jalan kaki pada Sukan Komanwel 1998. Saravanan, yang menghidapi penyakit Motor Neuron Disease (MND) sejak 2021, telah menerima pelbagai bentuk bantuan daripada YAKEB, termasuk sokongan perubatan, bantuan kewangan, dan bimbingan kerjaya.

Pengerusi YAKEB, Datuk Ahmad Shafawi Ismail, mengucapkan terima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, atas keprihatinan beliau terhadap nasib bekas atlet negara. Beliau turut menghargai sokongan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, YB Adam Adli Abd Halim, serta Dato’ Ahmad Farhan Fauzi, Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri, yang turun padang menziarahi Saravanan di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

YAKEB juga mengalu-alukan inisiatif “Atlet & Bekas Atlet Membantu Bekas Atlet” yang telah dilaksanakan oleh beberapa bekas atlet terkemuka. Antaranya ialah Abdul Hafiz Salleh (bekas perenang) melalui D’Swim Academy, Cheah Liek Hou (bintang badminton para) yang membantu bekas jurulatihnya, dan Dato’ Hj Noorul Ariffin Abdul Majeed, mantan Pengerusi YAKEB, yang aktif menghulurkan bantuan.

G.Saravanan mula dibantu oleh YAKEB sejak 2021 ketika negara dilanda pandemik COVID-19. Antara bantuan yang diberikan termasuk mendapatkan kontrak pekerjaan di Majlis Sukan Negeri Pulau Pinang, memudahkan urusan pencen ilat PERKESO, serta menyokong rawatan perubatannya di India.

Baru-baru ini, wakil Perdana Menteri dan Kementerian Belia dan Sukan telah menziarahi Saravanan sambil menyampaikan sumbangan tunai sebagai penghargaan atas jasanya kepada negara. YAKEB turut menggalakkan orang ramai menyumbang melalui #TabungX, tabung rasmi yayasan untuk membantu lebih 3,000 ahli YAKEB yang memerlukan.

YAKEB kekal komited dalam memastikan bekas atlet negara tidak dipinggirkan. Datuk Ahmad Shafawi menyeru semua pihak, termasuk kerajaan, sektor swasta, dan masyarakat, untuk bersama-sama membantu mereka yang telah berjasa kepada negara melalui sukan.

Dalam minggu ini, YAKEB akan melanjutkan lawatan ziarah kepada beberapa bekas atlet lain, termasuk Dato’ Soh Chin Aun (bola sepak), Rengan Pakeri (olahraga), dan Samah Ali (angkat berat), bagi memastikan kebajikan mereka terus terpelihara.

Leave a Reply