
KUALA LUMPUR, 29 April 2025 – Ketua Pemuda MCA Pahang, Wong Siew Mun, hari ini membangkitkan kebimbangan berhubung kelewatan pelaksanaan Titah Adendum Yang di-Pertuan Agong ke-16 berkenaan pelaksanaan tahanan rumah (house arrest) terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Isu ini timbul susulan laporan media bahawa Peguam Negara (AG), Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar, telah mendapat kebenaran Mahkamah Persekutuan untuk merayu keputusan majoriti Mahkamah Rayuan mengenai kes Najib yang mencabar titah berkenaan.
“Pada 4 Januari 2025, Istana Pahang telah mengeluarkan surat rasmi yang mengesahkan titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah supaya Najib menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah berdasarkan titah adendum 29 Januari 2024,” jelas Siew Mun dalam kenyataan medianya hari ini.
Beliau menyatakan kebimbangan mengapa titah tersebut masih belum dilaksanakan walaupun telah lebih tiga bulan sejak pengesahan rasmi dikeluarkan.
“Timbul persoalan – adakah wujud unsur campur tangan politik dalam kelewatan ini? Mengapa Peguam Negara mengambil tindakan merayu keputusan yang melibatkan titah diraja?” soal Siew Mun.
Menurut Siew Mun, sebagai peguam negara, Datuk Mohd. Dusuki sepatutnya memastikan keadilan dilaksanakan tanpa prejudis dan menghormati titah Sultan sebagai Ketua Agama Islam dan Raja Berperlembagaan.
“MCA Pahang menyeru agar isu ini diselesaikan dengan segera dan telus bagi mengelakkan persepsi negatif terhadap sistem kehakiman negara,” tegas beliau.
Siew Mun turut mengingatkan bahawa isu ini bukan sekadar melibatkan nasib seorang individu, tetapi turut menyentuh kredibiliti sistem kehakiman dan penghormatan terhadap institusi diraja.
“Rakyat berhak mengetahui kebenaran di sebalik kelewatan ini. Jika ada unsur permainan politik, ia harus didedahkan agar keadilan sebenar dapat ditegakkan,” tambahnya.