KUALA LUMPUR – Dalam suasana penuh harmoni dan penghargaan seni, majlis sambutan Hari Raya Aidilfitri anjuran Saloma Kuala Lumpur mencipta detik bersejarah apabila cucu-cucu kepada Biduanita Negara, Allahyarhamah Puan Sri Saloma, menerima sumbangan gratuiti sebagai penghormatan atas legasi seni luar biasa yang ditinggalkan oleh tokoh agung itu.
Majlis yang berlangsung di Theatre Hall, Saloma Kuala Lumpur, turut menyaksikan penyerahan gratuiti kepada Arzanee Armalie dan Rozaidie Armalie, cucu-cucu Allahyarhamah.
Majlis disempurnakan oleh Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan. Turut hadir mengiringi ialah Presiden Saloma Kuala Lumpur, Datin Riza Dato’ Che Umar.
Acara berkenaan turut mendapat sokongan kehadiran tokoh-tokoh kenamaan termasuk Panglima Angkatan Tentera Jeneral Datuk Mohd Nizam Jaafar, Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain, Ketua Setiausaha Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, Dato’ Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.
Menurut Datin Riza, majlis berkenaan bukan sekadar satu acara sambutan perayaan, malah menjadi platform untuk mengenang dan menghargai jasa seniwati tersohor negara, Allahyarhamah Saloma, yang telah banyak mencorakkan landskap seni dan budaya tanah air.

“Penyerahan gratuiti ini adalah lambang keikhlasan dan penghargaan Saloma Kuala Lumpur terhadap sumbangan luar biasa yang telah ditinggalkan oleh Puan Sri Saloma kepada negara dan industri seni kita.
“Ia juga sebahagian daripada usaha tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami yang menyantuni bukan sahaja pewaris beliau, malah golongan memerlukan,” katanya.
Beliau berkata, inisiatif itu diharap dapat diteruskan pada setiap tahun sebagai tanda penghargaan berterusan terhadap penggunaan nama Saloma yang menjadi identiti utama restoran berkenaan.
“Kami bersyukur kerana waris memberikan kerjasama sepenuhnya tanpa sebarang masalah, malah amat memudahkan urusan kami sepanjang operasi Saloma Kuala Lumpur,” katanya.
Sejak awal penubuhannya, Saloma Kuala Lumpur aktif menganjurkan pelbagai inisiatif kebajikan termasuk Program Rahmat Ramadan: Santunan Ihsan yang menyaksikan lebih 3,000 kampit beras dan pek makanan diagihkan kepada golongan asnaf dan mereka yang memerlukan.
Majlis seperti Malam Naungan Rahmat, Limpahan Berkat pula ditujukan bagi membantu artis veteran dan anak-anak tahfiz.
Program Kongsi Rezeki juga menjadi antara inti utama setiap penganjuran mereka.
Selain menganjurkan acara amal, Saloma Kuala Lumpur turut menyokong perkembangan industri seni tempatan dengan menjadi lokasi pilihan bagi pelbagai sidang media promosi seperti Konsert 30 Tahun ELLA USA dan “Here I Am Concert” oleh penyanyi terkenal Indonesia, Rossa.
“Majlis malam ini bukan sahaja meraikan lebaran, tetapi memperkukuh misi Saloma Kuala Lumpur untuk terus memartabatkan seni budaya negara serta menyemai nilai kemanusiaan melalui penghargaan terhadap legasi seni seperti Saloma,” katanya lagi.
Sementara itu, Arzanee Armalie yang mewakili pihak waris menyatakan rasa terharu atas penghormatan dan sumbangan yang diberikan.
“Kami menyokong penuh usaha Datin Riza untuk mengekalkan nama Saloma.
“Kami tidak mempunyai sebarang halangan, malah amat tersentuh apabila mereka sudi berkongsi rezeki bersama kami,” katanya.

Arzanee berkata, masih wujud pihak yang menggunakan nama Saloma tanpa merujuk atau mendapatkan kebenaran daripada waris, sekali gus menafikan hak pewaris yang sah.
“Usaha Datin Riza ini diharap membuka mata banyak pihak agar lebih menghormati dan menghargai kami sebagai waris Allahyarhamah.
“Kami tidak menghalang sesiapa menggunakan nama Saloma, namun biarlah dengan niat yang baik dan rujuklah kepada kami terlebih dahulu,” katanya lagi.
Majlis berkenaan turut menjadi bukti warisan seni dan budaya negara bukan sahaja perlu dikenang, malah harus terus dihargai dalam bentuk yang memberi manfaat kepada generasi pewaris.