AYER KUNING, 30 April – Ketua Penerangan Wanita UMNO Malaysia, Datuk Rosni Zahari menyifatkan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Ayer Kuning sebagai satu kejayaan besar, walaupun kehadiran pengundi tidak mencapai sasaran yang ditetapkan.
“Kita baru sahaja selesai dengan PRK Ayer Kuning yang menyaksikan kemenangan bergaya kepada BN. Walaubagaimanapun, sasaran kehadiran pengundi yang kita sasarkan tidak tercapai,” katanya.
Menurut Rosni, BN mensasarkan lebih 65 peratus pengundi keluar mengundi, namun hanya 59 peratus yang hadir menunaikan tanggungjawab.
“Ini bukan kerana sikap pengundi, tetapi kerana PRK berlangsung selepas musim Aidilfitri.
“Ramai pengundi telah pulang ke kampung untuk beraya dan apabila diminta untuk pulang semula mengundi, mereka menyatakan kewangan tidak mengizinkan kerana baru sahaja habis beraya,” ujarnya.
Beliau turut mengucapkan penghargaan kepada pengundi Ayer Kuning yang terus memberi kepercayaan kepada BN sebagai wakil rakyat kawasan tersebut.
“Pengundi kini semakin matang dan bijak dalam memilih.
“Mereka sedar kerajaan yang ada hari ini, sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan, merupakan kerajaan perpaduan.
“Buat apa mereka nak undi calon PAS yang hanya membawa suara pembangkang dan bukannya suara rakyat,” katanya lagi.
Mengulas mengenai isu yang dimainkan semasa kempen, Rosni berkata hanya dua isu cuba diketengahkan pihak lawan – iaitu isu kerjasama UMNO dan DAP (UMDAP) serta isu kandang babi.
“Ia isu yang klise dan tidak laku. Rakyat sudah faham kerajaan perpaduan ini dibentuk oleh 18 parti yang menjaga kepentingan semua. Isu kandang babi pula telah berdekad lamanya, dan tidak menjejaskan kawasan setempat,” jelasnya.
Tambah beliau, BN hanya tewas di satu daripada 28 Pusat Daerah Mengundi (PDM), iaitu PDM Tanjung Keramat, manakala selebihnya dimenangi BN.
Rosni turut berharap wakil rakyat yang dipilih dapat menjalankan tanggungjawab dengan baik demi kepentingan rakyat di Ayer Kuning.
Calon BN, Mohamad Yusri Bakir menang PRK DUN Ayer Kuning, Perak dengan majoriti 5,006 undi.
Mohamad Yusri yang juga Setiausaha UMNO Bahagian Tapah, meraih 11,065 undi, mengatasi Abdul Muhaimin yang memperolehi 6,059 undi, manakala calon PSM, Bawani KS mendapat 1,106 undi.
Bagaimanapun peratusan keluar mengundi pada PRKL kali ini mencatatkan penurunan sebanyak 15.4 peratus berbanding 73.47 peratus yang direkodkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) lalu.
Seramai 31,897 pengundi dalam daftar pemilih PRK Ayer Kuning.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas menyertai perlawanan bola sepak persahabatan di Pulau Pinang pada 22 Februari lalu.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Allahyarham Ishsam menang dalam pertandingan lima penjuru dengan majoriti 2,213 undi.