KUALA LUMPUR, 1 Mei 2025 —
Dunia kewartawanan dan media tempatan hari ini dirundung duka dengan pemergian dua tokoh yang banyak berjasa dalam industri — jurugambar veteran NSTP, Allahyarham Dzulkifli Mustapha, dan wartawan hiburan TV3 yang dihormati, Allahyarham Nas Ahmad.
Menurut Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, pemergian mereka merupakan satu kehilangan besar buat negara.
“Inna lillahi wa inna ilaihi raji’un. Industri media tanah air kehilangan dua lagi figura yang banyak menabur jasa dan bakti dalam bidang diceburi. Takziah kepada seluruh ahli keluarga dan kenalan rapat jurugambar veteran NSTP, Dzulkifli Mustapha, serta wartawan hiburan TV3 yang disegani, Nas Ahmad,” ujar beliau dalam satu kenyataan media di Facebook milik beliau hari ini
Allahyarham Dzulkifli menghembuskan nafas terakhir semalam, manakala Allahyarham Nas Ahmad disahkan meninggal dunia pagi tadi.
Sepanjang kerjaya mereka, kedua-duanya memainkan peranan penting dalam merakam sejarah serta menyampaikan kisah masyarakat yang mencorak warna kehidupan di Malaysia. Kehadiran mereka dalam dunia media bukan sahaja memberi impak kepada rakan seindustri, malah meninggalkan kenangan yang sukar dilupakan oleh penonton dan pembaca.
“Sama-sama kita doakan agar roh mereka dicucuri rahmat dan ditempatkan dalam kalangan orang beriman. Al-Fatihah,” tambah Datuk Fahmi.
Pemergian mereka bukan sahaja dirasai oleh keluarga dan rakan-rakan terdekat, malah turut diratapi oleh pengamal media dan masyarakat umum yang mengikuti hasil kerja mereka selama ini.


#AlFatihah #DzulkifliMustapha #NasAhmad #LegasiMedia #IndustriMedia #TokohMedia #JasaDikenang #SalamTakziah #MediaMalaysia #KenanganTerindah