KUALA LUMPUR, 9 Mei 2025 – Dalam satu perkembangan politik penting, Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) telah mencapai persetujuan untuk bekerjasama dalam menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang akan datang. Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat kepimpinan tertinggi yang berlangsung pada 8 Mei 2025 antara Pengerusi PH, YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim dan Pengerusi BN, YAB Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Menurut kenyataan bersama yang dikeluarkan oleh Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Seri Saifuddin Nasution bin Ismail dan Ketua Sekretariat Kerajaan Perpaduan, Dr. Asyraf Wajdi Dusuki, bentuk kerjasama yang bakal dilaksanakan merangkumi soal pengagihan kerusi serta rundingan dengan mana-mana parti lain di Sabah.

“Segala keputusan berhubung bentuk kerjasama akan diperincikan bersama oleh kepimpinan Pakatan Harapan dan Barisan Nasional Negeri Sabah,” menurut kenyataan itu.

Kenyataan itu juga menegaskan bahawa keputusan muktamad akan ditentukan oleh kepimpinan tertinggi kedua-dua gabungan di peringkat kebangsaan.

Langkah strategik ini dilihat sebagai usaha memperkukuh Kerajaan Perpaduan serta mempertingkatkan kesiapsiagaan menghadapi PRN Sabah yang dijangka sengit.

#PRNSabah2025 #KerajaanPerpaduan #PakatanHarapan #BarisanNasional #AnwarIbrahim #ZahidHamidi #PolitikMalaysia #SabahBersatu #KestabilanNegara #MalaysiaMadani

Leave a Reply