BANGI, 9 Mei 2025 – Calon berkaliber dari Cabang Tebrau, Puan Napsiah binti Khamis @ Maharan, mengumumkan hasratnya untuk bertanding jawatan Timbalan Ketua Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pusat dalam pemilihan parti yang bakal berlangsung pada 23 Mei ini.

Dalam satu kenyataan kepada media, beliau menegaskan bahawa pencalonannya adalah hasil permintaan akar umbi dan rakan seperjuangan, dengan tekad untuk memperjuangkan isu-isu wanita dan kanak-kanak di peringkat nasional.

“Saya bertanding kerana desakan akar umbi dan rakan-rakan. Jiwa saya aktivis, perjuangan saya untuk wanita dan kanak-kanak. Jika menang, ia satu bonus, tetapi fokus utama saya adalah strategi menghadapi PRU16,” ujar beliau.

Puan Napsiah, yang juga satu-satunya calon wanita dalam PRN Johor tiga tahun lalu di Kempas (Parlimen Pulai), menekankan kepentingan pemilihan yang adil dan saksama serta menyeru anggota parti untuk membuat pilihan berdasarkan kredibiliti dan visi pemimpin.

Beliau turut menyatakan sokongan penuh terhadap Nurul Izzah Anwar untuk bertanding Timbalan Presiden PKR yang dilihat sebagai “penyambung legasi dan Puteri Reformasi” serta simbol keteguhan perjuangan parti.

Pemilihan kali ini yang berasaskan sistem perwakilan, menurut beliau, akan menguji keupayaan calon untuk mendekati akar umbi dengan pendekatan yang lebih tersusun dan strategik.

“Nak menang memang impian semua, tapi akhirnya, kita serahkan kepada anggota parti. Proses demokrasi dalam KEADILAN berjalan seperti biasa,” tambahnya.

Puan Napsiah  menegaskan bahawa cabaran sebenar bukan sekadar menang pemilihan, tetapi memastikan KEADILAN terus kekal relevan dan menang besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 akan datang.

#PemilihanPKR2025 #WanitaKeadilan #NapsiahKhamis #PRU16 #PuteriReformasi #AktivisWanita #KeadilanUntukSemua #SuaraAkarUmbi #NurulIzzah #TimbalanKetuaWanitaPKR

Leave a Reply