Tiada Lagi Caj Tersembunyi: Aplikasi Baharu Big Blue menjanjikan Harga Telus & Adil

SERDANG, 10 Mei 2025 – Datuk Shamsubahrin Ismail mengumumkan pelancaran semula aplikasi e-hailing tempatan yang telah diperbaharui sepenuhnya selepas ditutup sejak pandemik COVID-19. Dalam sidang media khas hari ini, beliau menekankan bahawa aplikasi ini bukan sekadar satu lagi platform e-hailing, malah merupakan sistem komprehensif yang bakal menggantikan kebergantungan rakyat kepada syarikat asing seperti Grab dan Uber.

Menurut beliau, aplikasi ini bukan sahaja boleh digunakan menerusi telefon pintar, malah akan tersedia melalui kiosk digital yang akan ditempatkan di lapangan terbang, bangunan kerajaan, pusat beli-belah dan lokasi strategik lain seluruh negara. “Konsepnya sama seperti mesin layan diri McDonald’s. Mudah, mesra pengguna dan pantas,” jelas beliau.

Berbeza daripada pesaingnya, sistem tambang yang digunakan adalah telus dan mengikut kadar meter sebenar tanpa caj tersembunyi seperti peak hour, high demand atau harga dinamik yang menurutnya merupakan satu bentuk “scam”. Satu-satunya pengecualian hanyalah caj tambahan selepas tengah malam seperti yang dibenarkan undang-undang.

Antara kelebihan lain termasuk keupayaan membuat pre-booking dan pembayaran awal, sistem tanpa caj pembatalan, serta sokongan kepada pemandu dengan penghapusan potongan komisen sehingga 20%. “Kalau dulu kami potong 10%, sekarang kami tak potong langsung,” katanya.

Datuk Shamsubahrin juga memaklumkan bahawa kerjasama dengan PETRON dan pelbagai pihak sedang dijalankan untuk penyediaan stesen pengecas EV di seluruh negara, termasuk 50 hingga 100 stesen di KLIA sahaja.

Dalam nada lebih tegas, beliau turut mengkritik syarikat e-hailing lain yang menurutnya merosakkan industri melalui caj melampau dan sikap tidak profesional. Beliau mencadangkan agar APAD mempertimbangkan pengharaman kenderaan persendirian dalam sektor e-hailing, demi menjaga kualiti perkhidmatan dan pendapatan pemandu tempatan.

“Kalau pengguna mahukan kualiti, mereka perlu sanggup bayar sedikit lebih. Kita tak boleh kejar murah, nanti yang rugi semua pihak,” katanya lagi.

Aplikasi ini bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri bersama MOT, APAD dan MITI dalam masa terdekat. Dengan lebih 2 juta pelanggan berdaftar dan sasaran 1,400 pendaftaran kenderaan sebulan, beliau yakin aplikasi ini mampu mengubah landskap pengangkutan negara.

#EHailingMalaysia #TambangBermeter #AplikasiTempatan #NoMoreScam #SupportLokal #PemanduUntung #TiadaCajTersembunyi #MalaysiaMoveForward #RevolusiPengangkutan #DatukShamsubahrin

Leave a Reply