KUALA LUMPUR – Malaysia secara rasminya menjadi negara pertama yang diberi penghormatan untuk menjadi tuan rumah penganjuran forum Forum Ekonomi Wanita (Women Economic Forum – WEF) ASEAN 2025, yang dilancarkan baru-baru ini.

Pelancaran ini menandakan permulaan kepada sebuah perjalanan bermakna yang memfokuskan kepada pemerkasaan wanita serantau, menerusi pelbagai inisiatif berimpak tinggi serta sokongan padu daripada pelbagai sektor.

Acara yang diraikan dengan penuh semangat ini turut memperkenalkan barangan rasmi edisi khas WEF ASEAN 2025, yang direka khas bagi meraikan kekuatan, ketabahan dan kreativiti wanita di seluruh ASEAN.

Koleksi ini menampilkan pakaian dan aksesori mesra alam yang boleh didapati secara dalam talian serta di semua acara rasmi WEF yang akan datang.

Forum utama WEF ASEAN 2025 akan diadakan pada 19 hingga 21 Jun 2025 bertempat di Dewan Perdana, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Kuala Lumpur.

Majlis pelancaran turut mengumumkan senarai penaja dan rakan strategik yang terdiri daripada organisasi korporat dan institusi utama termasuk MITI selaku tuan rumah, Felda Global Ventures (FGV), CUCKOO, Kinohimitsu, Matis Paris dan HWC Coffee.

Sokongan mereka menggambarkan komitmen kolektif terhadap usaha memperluas akses dan peluang ekonomi serta kepimpinan kepada wanita di rantau ini.

Usaha sama ini dijangka menjana pelbagai program jaringan dan pembangunan kapasiti sepanjang tahun.

Salah satu kemuncak pelancaran adalah pengumuman “Anugerah Kepimpinan Wanita WEF”, sebuah pengiktirafan kepada tokoh wanita cemerlang dalam bidang perniagaan, perusahaan sosial, inovasi serta kelestarian.

Proses pencalonan kini dibuka dan penyampaian anugerah akan berlangsung semasa forum utama pada bulan Jun nanti.

Dalam usaha memperkasakan bakat kreatif tempatan, majlis turut diserikan dengan pertunjukan fesyen eksklusif oleh pereka muda Malaysia.

Persembahan ini bukan sahaja menjadi tumpuan visual, malah memperkukuh komitmen WEF untuk menyediakan pentas serantau bagi menampilkan hasil karya anak tempatan.

Pengerusi Penganjur WEF ASEAN 2025, Datin Dr (h.c) Hajah Hartini Osman berkata, forum ini bukan sekadar perhimpunan serantau, tetapi sebuah platform penting dalam merapatkan jurang gender global melalui tindakan kolektif.

Katanya, pengasas WEF, Dr. Harbeen Arora Rai menyifatkan forum ini sebagai suatu titik temu bersejarah bagi pemimpin dan usahawan wanita dari seluruh dunia, menghubungkan utara dan selatan global.

“Dengan tema “Women Leaders Beyond Borders: Shaping the Future of the ASEAN Sheconomy”, forum ini diharapkan dapat menyemarakkan perbincangan strategik dan memperkukuh kerjasama merentas negara dalam usaha mencapai kesaksamaan gender menjelang akhir dekad ini,” katanya.

WEF ASEAN 2025 dijangka menjadi pentas berprestij bagi mengetengahkan kisah kejayaan wanita, strategi pembangunan mampan berasaskan kepimpinan wanita serta menyokong matlamat pembangunan lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (SDG).

Dengan aspirasi untuk menjadi pemangkin perubahan, forum selama tiga hari itu dijangka memberi impak transformasi bukan sahaja kepada peserta tetapi juga kepada dasar dan ekosistem pembangunan wanita serantau.

Majlis pelancaran berkenaan menjadi bukti nyata bahawa apabila sektor kerajaan, swasta dan masyarakat berganding bahu, potensi sebenar wanita dapat dicapai dan diraikan dengan penuh bermaruah.

By Cynthia

Leave a Reply