KUALA LUMPUR – Stesen penyiaran Islam negara, TV AlHijrah mencipta pencapaian membanggakan apabila berjaya menduduki tangga ketiga tertinggi dalam kalangan stesen televisyen pilihan penonton Melayu sepanjang minggu pertama Ramadan tahun ini.

Peningkatan prestasi ini turut menyaksikan lonjakan syer tontonan sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya, sekali gus menandakan pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya 15 tahun lalu.

Perkembangan positif ini dikongsikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu sidang media pelancaran program Haji TV AlHijrah 1446H: Menyahut Panggilan-Mu yang berlangsung hari ini.

Menurutnya, kejayaan itu bukan sahaja membuktikan keupayaan TV AlHijrah untuk bersaing dalam landskap penyiaran arus perdana, tetapi juga mencerminkan kekuatan dan daya tarik kandungan berteraskan Islam yang diketengahkan stesen itu.

“Alhamdulillah, saya ingin merakamkan penghargaan atas prestasi cemerlang TV AlHijrah sepanjang bulan Ramadan lalu.

“Syer tontonan saluran ini meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tahun sebelumnya.

“Paling membanggakan, TV AlHijrah berjaya menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan. Ini adalah pencapaian mingguan terbaik sejak penubuhannya,” katanya.

Beliau berkata, lonjakan ini mula dirasai seawal minggu sebelum Ramadan dan kekal konsisten sepanjang bulan mulia itu.

Antara faktor yang mendorong kejayaan ini adalah kekuatan barisan program istimewa Ramadan seperti Falah Insani, Kalam Junjungan, Taranum Challenge, Ibrah Ramadan dan Panggilan Ilmu dalam slot Maghrib, selain program pagi seperti Assalam Sahur, Assalam Subuh dan Hadis@114 yang mendapat sambutan hangat dalam kalangan penonton.

Bagi Mohd Na’im, pencapaian yang direkodkan bukan sekadar angka, malah menjadi bukti jelas bahawa TV AlHijrah mampu tampil sebagai saluran Islam berautoriti yang progresif serta berdaya saing dalam menyampaikan mesej dakwah secara efektif dalam era digital.

“Sebagai menteri yang bertanggungjawab terhadap hal ehwal Islam di negara ini, saya amat menghargai usaha TV AlHijrah yang konsisten menyampaikan syiar Islam dengan pendekatan berasaskan ilmu, kreativiti dan kefahaman semasa.

“Ini selari dengan aspirasi Malaysia Madani dan mendokong tekad kita untuk melihat Islam terus mekar di bumi Malaysia,” katanya lagi.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Ketua Pegawai Eksekutif TV AlHijrah, Namanzee Harris, serta seluruh warga kerja stesen itu atas komitmen luar biasa mereka dalam menjadikan penyiaran bukan sekadar medium hiburan, tetapi juga sebagai wadah mendidik dan membimbing masyarakat secara rohani.

Dalam perkembangan sama, Namanzee menyifatkan kejayaan itu sebagai satu titik tolak baharu buat TV AlHijrah untuk terus menghasilkan kandungan yang memberi manfaat kepada masyarakat, khususnya dalam menyambut musim perayaan Aidiladha yang bakal tiba.

“Sejak 15 tahun penubuhan TV AlHijrah, ini adalah kejayaan pertama kami apabila berjaya menduduki tangga tiga terbaik sebagai stesen TV yang mencatatkan rating tinggi.

“Kami percaya kandungan yang kami bawakan selari dengan selera masyarakat,” katanya.

Walaupun menyedari selera majoriti penonton mungkin masih terarah kepada hiburan dan drama, beliau tetap yakin bahawa segmen kerohanian dan ilmiah terus memiliki tempat istimewa dalam hati masyarakat Malaysia.

Dengan pencapaian ini, TV AlHijrah bukan sahaja membuktikan keupayaan sebagai stesen penyiaran Islam yang relevan dan dinamik, malah turut mengukuhkan peranannya sebagai madrasah rohani dalam mendidik dan memimpin masyarakat ke arah kebaikan, berlandaskan nilai-nilai Islam yang sebenar.

By Cynthia

Leave a Reply