KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Koperasi Permodalan FELDA Malaysia Berhad (KPF) kini berada pada landasan pemulihan yang meyakinkan apabila berjaya memperkukuhkan prestasi kewangannya melalui pelaksanaan pelan strategik dan rasionalisasi aset secara berperingkat.
Pengerusi KPF, YBhg. Dato’ Mohd Banuri Aris, dalam satu sidang media khas yang diadakan hari ini, menyatakan bahawa KPF telah menunjukkan peningkatan memberangsangkan meskipun berdepan pelbagai cabaran sejak beberapa tahun lalu.
“Kita akui terdapat isu seperti pengeluaran syer anggota yang tertangguh dan kelemahan pematuhan undang-undang kecil sebelum ini. Namun, melalui penambahbaikan dalam tadbir urus dan pelaksanaan pelan strategik yang lebih tersusun, keyakinan anggota kini kembali pulih,” jelas beliau.
Penebusan Syer: Fokus Kepada Keperluan Kritikal
Antara isu utama yang ditangani KPF adalah penebusan syer anggota. Sepanjang 2022 hingga 2025, sebanyak 29,159 permohonan berjumlah RM691.58 juta telah diterima, dengan RM319.44 juta berjaya dibayar melibatkan 18,783 permohonan.
Proses ini dibuat mengikut konsep penggiliran dengan keutamaan kepada kes kritikal seperti ibadah haji/umrah, perubatan, pendidikan dan kes mahkamah. Baki sebanyak RM372.13 juta yang melibatkan 10,376 permohonan pula akan diselesaikan secara berperingkat berdasarkan kemampuan aliran tunai semasa.
Pelan Rasionalisasi Aset Untuk Masa Depan Mampan
Dalam usaha menjamin kelangsungan kewangan jangka panjang, KPF memperkenalkan Pelan Rasionalisasi Aset Pelaburan yang melibatkan tiga langkah utama:
Penjualan aset perladangan (selesai suku ke-4 2025)
Pelupusan hartanah yang tidak memberi pulangan optimum
Penstrukturan pelaburan dalam syarikat bersekutu
Langkah ini dijangka dapat mempercepat penebusan syer tertunggak dan menjana pendapatan mampan yang lebih stabil.
Prestasi Stabil dan Sokongan Padu FELDA
Meskipun terkesan dengan tekanan aliran tunai, KPF berjaya mengekalkan rekod kewangan yang positif tanpa sebarang kerugian sejak ditubuhkan pada 1980. Kecekapan pengurusan menjadi kunci ketahanan koperasi ini.
Dato’ Mohd Banuri turut mengiktiraf peranan FELDA dalam membantu KPF memanfaatkan peluang ekonomi, termasuk perlantikan sebagai ejen tunggal pembelian Buah Tandan Segar (BTS) dan pengurusan Pusat Mengumpul Sawit (PMS).
Harapan Kepada Anggota
Beliau menyeru seluruh anggota KPF untuk terus memberikan sokongan padu.
“Kepercayaan dan kesetiaan anggota, khususnya para peneroka FELDA, adalah kekuatan sebenar yang membolehkan KPF terus bangkit dan berkembang,” katanya.
#KPF2025 #TadbirUrusBaik #EkonomiAnggota #PemulihanKPF #PelaburanLestari #FELDA #SokongKoperasi #KebajikanAnggota #TransformasiKPF #BeritaKPF