Mangsa Gigamax Mahu Keadilan Segera
KUALA LUMPUR, 15 Mei 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini menyerahkan sepucuk surat rasmi kepada Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman bagi mendapatkan perkembangan dan status terkini berhubung tangkapan ke atas tiga suspek yang terlibat dalam kes penipuan pelaburan matawang kripto Gigamax.
Surat yang diserahkan secara rasmi di pejabat JSJK Bukit Aman ini adalah susulan penahanan tiga individu oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 6 Mei 2025 lalu. Tangkapan ini disifatkan sebagai langkah penting dalam usaha membawa keadilan kepada mangsa-mangsa penipuan yang dianggarkan mengalami kerugian mencecah hampir RM4.9 juta.
Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Bin Hashim, dalam kenyataannya menyatakan penghargaan kepada PDRM atas tindakan tegas dan pantas dalam kes ini. “Kejayaan ini memberi sinar harapan kepada para pengadu, termasuk warga emas, yang telah menjadi mangsa penipuan melalui aplikasi pelaburan Gigamax,” katanya.
Menurut MHO, sebanyak 99 aduan rasmi telah diterima daripada orang awam yang terperangkap dalam skim pelaburan tersebut. Mangsa-mangsa kini berharap siasatan dapat dijalankan secara telus dan menyeluruh, seterusnya membawa pelaku ke muka pengadilan.
Tambah beliau, penyerahan surat ini juga disertai dengan sokongan penuh daripada mangsa-mangsa yang telah bersetuju untuk hadir bersama dalam satu sidang media khas yang dianjurkan oleh MHO. Mereka menyuarakan harapan agar pihak berkuasa dapat terus memberi perhatian serius terhadap kes ini demi memulihkan kepercayaan rakyat terhadap sistem perundangan negara.
MHO turut menegaskan komitmen mereka dalam memperjuangkan keadilan bagi pihak mangsa, serta menyeru pihak berwajib untuk terus memberikan maklum balas yang proaktif dan telus terhadap perkembangan kes berkenaan.
#Gigamax #PenipuanKripto #KeadilanUntukMangsa #MHO #SiasatanTelus #JSJK #PDRM #HakAsasi #PelaburanSelamat #TangkapPenipu