KPF Tegas: Bukan Bank, Tapi Komited Tunaikan Hak Pemegang Saham
KUALA LUMPUR, 16 Mei 2025 – Koperasi Permodalan Felda Malaysia Berhad (KPF) hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi bagi menjelaskan perkembangan terkini berkaitan proses pembayaran hasil jualan saham kepada ahli, sekali gus menepis kekeliruan awam yang timbul kebelakangan ini.
Menurut wakil pengurusan KPF, pembayaran sedang dilakukan secara berfasa, berpandukan keutamaan serta prosedur yang telah ditetapkan. Penstrukturan semula portfolio aset pelaburan sedang dilaksanakan secara strategik demi memastikan keseimbangan antara keperluan jangka pendek ahli dan matlamat pelaburan jangka panjang koperasi.
“Kami memiliki lebih RM4 bilion dalam bentuk aset dan sedang mengenal pasti aset yang sesuai untuk dilupuskan bagi memenuhi tuntutan semasa ahli, tanpa menjejaskan kekuatan kewangan jangka panjang KPF,” kata wakil tersebut.
KPF turut memperkenalkan sistem “green lane” bagi mempercepatkan proses pembayaran kepada ahli yang benar-benar memerlukan, antaranya golongan warga emas, mereka yang menghadapi situasi kesihatan serius, serta individu dengan keperluan ibadah seperti menunaikan haji.
“Kami mahu berlaku adil dan bertanggungjawab. Ahli yang memerlukan diberi keutamaan, manakala yang lain tetap akan menerima bayaran secara giliran yang telus dan sistematik,” tambah wakil KPF.
Dalam kenyataannya, KPF turut menegaskan bahawa ia merupakan sebuah koperasi – bukan institusi kewangan konvensional – justeru segala urusan melibatkan dana ahli dijalankan berlandaskan undang-undang dan garis panduan Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).
“Pengurusan dana oleh koperasi tertakluk kepada pelaburan matang dan kehati-hatian kewangan, bukan seperti bank yang bersifat likuid setiap masa,” jelasnya lagi.
Seiring usaha menambah nilai kepada ahli, KPF kini memegang mandat sebagai ejen tunggal pembelian buah tandan segar (BTS) daripada peneroka Felda. Inisiatif ini dijangka memberi impak positif terhadap pulangan kewangan kepada pemegang saham bermula tahun ini.
“Kami yakin langkah ini akan memantapkan prestasi perniagaan dan memperkukuh kedudukan kewangan KPF untuk faedah semua ahli,” kata pihak pengurusan.
KPF merakamkan penghargaan kepada semua ahli atas sokongan berterusan, sambil menyeru semua pihak untuk terus memahami peranan dan realiti operasi koperasi yang telah berjaya bertahan lebih empat dekad tanpa merekodkan sebarang kerugian.
#KPF #KoperasiFelda #PembayaranSaham #PrihatinAhli #GreenLaneKPF #AsetStrategik #MandatBTS #Felda2025 #PelaburanBijak #SokongKoperasi