KUALA LUMPUR, 17 Mei 2025 – Dua individu mengalami kerugian keseluruhan RM157,200 selepas dipercayai menjadi mangsa penipuan skim pelaburan kiosk dobi layan diri yang disyaki tidak wujud. Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) tampil membantu mangsa selepas menerima aduan terhadap sebuah syarikat tempatan yang dikatakan lepas tangan dan gagal menunaikan janji pelaburan.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin Hashim, syarikat berkenaan menjanjikan keuntungan tetap, pengurusan penuh serta lokasi strategik untuk pemasangan kiosk tanpa penglibatan aktif pelabur. Bagaimanapun, tiada satu pun janji itu ditunaikan walaupun bayaran penuh telah dibuat oleh mangsa.
Usaha mangsa untuk mendapatkan penjelasan daripada pihak syarikat gagal apabila hanya menerima alasan negatif. Laporan polis telah dibuat, namun hanya satu laporan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan manakala satu lagi diklasifikasikan sebagai NFA, menimbulkan kekecewaan dalam kalangan mangsa.
Dalam satu sidang media hari ini, MHO memohon kerjasama penuh pihak Polis Diraja Malaysia agar siasatan menyeluruh dijalankan dan tindakan tegas diambil terhadap syarikat yang didakwa menipu ini. MHO menyifatkan perjanjian pelaburan yang disediakan hanya bertujuan mengelirukan pihak berkuasa dan mangsa.
#PelaburanTipu #SkimPenipuan #MangsaTertipu #KioskDobi #MHO #KeadilanUntukMangsa #SiasatanSegera #PolisDirajaMalaysia #HakPengguna #JanganMudahPercaya