
KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO) hari ini mendedahkan satu skim pelaburan disyaki penipuan berskala besar yang melibatkan dakwaan kewujudan “dana emas” dan “tunai luar negara” berjumlah puluhan bilion dolar Amerika Syarikat, kononnya disimpan di institusi kewangan luar negara seperti United Kingdom dan Switzerland.
Menurut Setiausaha Agung MHO, Dato’ Hishamuddin bin Hashim, pertubuhan itu telah menerima aduan daripada ramai mangsa yang mendakwa diperdaya oleh individu-individu rakyat Malaysia yang bertindak sebagai dalang atau mastermind, dibantu oleh beberapa pemegang mandat dan ketua kumpulan bagi meyakinkan pelabur menyertai skim tersebut.
Mangsa-mangsa mendakwa mereka dijanjikan pulangan luar biasa dalam bentuk tunai dan harta selepas kononnya proses “pengaktifan” dan “pembebasan dana” berjaya dilaksanakan. Namun, MHO menegaskan dakwaan kewujudan dana tersebut adalah disyaki palsu dan merupakan sebahagian daripada strategi penipuan terancang.
Lebih mengejutkan, para pelabur turut diarahkan membuka akaun korporat dengan bayaran mencecah ribuan ringgit, kononnya bagi menerima kemasukan dana luar negara. Akibatnya, mangsa dilaporkan mengalami kerugian antara ribuan hingga ratusan ribu ringgit seorang, dengan jumlah keseluruhan kerugian dianggarkan mencecah jutaan ringgit.
Tambah beliau, modus operandi sindiket ini termasuk mempamerkan dokumen yang menggunakan logo rasmi institusi kewangan ternama seperti Bank Negara Malaysia serta institusi kewangan luar negara, yang disyaki telah dipalsukan bagi mengaburi mata pelabur.
MHO turut memaklumkan bahawa sehingga kini, tiada seorang pun mangsa menerima sebarang pulangan seperti dijanjikan. Sebaliknya, mereka hanya diberikan pelbagai alasan termasuk kononnya wujud masalah teknikal bank luar negara dan kelewatan proses pemindahan dana, tanpa sebarang dokumen rasmi, perjanjian pelaburan atau laporan audit.
Dalam kenyataan sama, MHO memaklumkan bahawa Nadia Holdings (L) Ltd yang dikaitkan dengan skim ini didakwa tidak tersenarai sebagai entiti berlesen di bawah mana-mana institusi kewangan yang diiktiraf di Malaysia. Aktiviti pengambilan deposit daripada orang awam tanpa lesen merupakan satu kesalahan serius di bawah Akta Perkhidmatan Kewangan 2013 (FSA 2013).
Berdasarkan penelitian undang-undang, MHO berpandangan bahawa kegiatan yang disyaki dijalankan memenuhi elemen kesalahan penerimaan deposit secara tidak sah di bawah Seksyen 137(1) FSA 2013 serta berpotensi melanggar Seksyen 10 akta yang sama kerana menjalankan perkhidmatan kewangan tanpa lesen sah.
Sehubungan itu, para pengadu hari ini berhimpun di hadapan Bank Negara Malaysia bagi mengemukakan permohonan rasmi supaya satu kertas siasatan dibuka, termasuk tindakan penguatkuasaan dan pembekuan akaun-akaun berkaitan bagi mengelakkan lebih ramai orang awam menjadi mangsa.
MHO menegaskan pihaknya akan terus memperjuangkan keadilan buat mangsa serta menggesa tindakan segera pihak berkuasa agar kegiatan penipuan berselindung di sebalik pelaburan “dana tahyul” ini dapat dihentikan sepenuhnya.
#DanaTahyul
#SkimPelaburanPenipuan
#AATVMalaysia
#MHO
#BongkarPenipuan
#PelaburanPalsu
#BNMSiasat
#ScamAlertMalaysia
#MangsaPenipuan
#BeritaPanas