KUALA LUMPUR, 18 Disember 2025 – Aktivis Sosial, Dato’ Dr. Kalaivanar mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) agar menyiasat secara serius satu laporan gangguan dan penderaan seksual sesama jenis yang didakwa melibatkan seorang pastor wanita di sebuah gereja di Rawang, Selangor.

Dato’ Dr. Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara, dalam satu kenyataan memaklumkan bahawa seorang wanita berusia 29 tahun telah membuat laporan polis pada September lalu mendakwa dirinya menjadi mangsa gangguan seksual dan penderaan fizikal sejak berusia awal 20-an.

Menurut kenyataan tersebut, mangsa mendakwa perbuatan itu dilakukan oleh seorang pastor wanita yang dikenalinya sejak kecil melalui penglibatan keluarga mangsa dalam aktiviti keagamaan di gereja berkenaan. Mangsa turut mendakwa wujud unsur paksaan, ugutan dan penderaan berterusan yang menyebabkan beliau mengalami trauma serta gangguan kebimbangan yang serius sehingga kini.

Bagaimanapun, mangsa dilaporkan tidak berpuas hati dengan cara siasatan dijalankan apabila mendakwa kenyataannya tidak direkodkan secara menyeluruh di bawah Seksyen 112 Kanun Prosedur Jenayah, selain mendakwa tidak diminta menandatangani rakaman percakapan tersebut.

Mangsa juga mendakwa tidak dimaklumkan mengenai status terkini siasatan, walaupun telah menyerahkan bukti berbentuk rakaman gambar dan video kepada pegawai penyiasat yang mengendalikan kes berkenaan.

Sehubungan itu, Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara menyeru agar kes ini tidak diklasifikasikan sebagai “No Further Action” (NFA) hanya kerana kejadian didakwa berlaku lama sebelum laporan dibuat, sebaliknya menegaskan bahawa keadilan perlu ditegakkan demi kesejahteraan mangsa.

Dato’ Dr. Kalaivanar turut menyuarakan harapan agar Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail, memberikan perhatian serius terhadap kes ini dan memastikan siasatan telus serta tindakan undang-undang sewajarnya diambil jika terdapat bukti kukuh.

Dato’ Dr Kalaivanar akan terus memantau perkembangan kes ini demi kepentingan awam dan keadilan kepada mangsa.

#KeadilanUntukMangsa
#SiasatTanpaPilihKasih
#HentikanPenderaanSeksual
#PDRMPrihatin
#HakMangsa
#IsuKemanusiaan
#KeselamatanRakyat
#TraumaBukanMainan
#SuaraMangsa
#AATVMedia

Leave a Reply