KUALA LUMPUR – Seorang pemuda Orang Kurang Upaya (OKU) berusia 26 tahun tampil mendedahkan dirinya menjadi mangsa penipuan skim pelaburan emas tahyul yang menjanjikan pulangan tidak masuk akal, sehingga menyebabkan beliau kerugian kira-kira RM6,000, termasuk wang bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Mangsa yang hanya melakukan kerja kampung seperti mengambil buah sawit berkata, beliau mula terpengaruh apabila dijanjikan “modal hampir cukup” oleh individu tidak dikenali yang mempromosikan pelaburan berunsurkan emas dan dana luar negara.

“Mula-mula dia kata sikit lagi nak cukup modal. Dia minta RM100, RM200… ikut suka kita nak bagi,” katanya.

Lebih mengejutkan, mangsa mendakwa dijanjikan pulangan luar biasa sehingga RM3 juta hanya dengan modal RM500, sesuatu yang jelas tidak masuk akal namun dipercayai mangsa ketika itu.

Perkara itu mendapat perhatian Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa (MHO), Dato’ Hishamuddin Hashim, yang menegaskan modus operandi penipu adalah dengan meminta bayaran kecil secara berperingkat bagi memerangkap mangsa, khususnya golongan rentan.

“Ini taktik biasa scam. Mula RM100, RM200, lepas itu RM500. Janji pulangan besar supaya mangsa terus bayar,” katanya.

Mangsa turut mengakui kejadian itu berlaku sekitar tahun 2021 ketika tempoh PKP, waktu ramai terdesak dari segi kewangan. Akibat penipuan tersebut, beliau kini terpaksa mengumpul semula wang bantuan JKM untuk meneruskan kehidupan bersama keluarganya.

Dato’ Hisham menyeru mangsa agar tidak berputus asa dan menegaskan pihaknya akan berusaha membantu membawa kes ini ke perhatian pihak berkuasa.

“Tak apa, kita lawan. Kita cuba. Jangan give up,” katanya memberi semangat.

Kes ini dipercayai mempunyai kaitan dengan Skim Pelaburan Tahyul – Dana Emas & Tunai Luar Negara, yang disyaki melibatkan aktiviti penipuan berskala besar dengan dakwaan dana emas dan tunai mencecah puluhan bilion dolar di luar negara.

Pendedahan ini sekali lagi menjadi peringatan kepada orang ramai agar tidak mudah terpedaya dengan janji pulangan luar biasa, terutamanya skim yang tidak berdaftar dan berselindung di sebalik istilah “emas” serta “dana antarabangsa”.

#BeritaAATV #SkimPelaburanScam #ScamEmas #PelaburanTahyuI #MangsaScam #MHO #DuitJKM #ScammerAlert #LindungiRakyat #JanganMudahPercaya

Leave a Reply