
KUALA LUMPUR, 23 Mei 2025 – Wanita Barisan Nasional (BN) menyatakan sokongan penuh terhadap langkah berani Pemuda MCA dan Beliawanis MCA yang membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan keraguan dalam pelaksanaan projek MyKiosk di bawah Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ketua Penerangan Wanita BN, Dato’ Hajah Rosni Zahari berkata, tindakan tersebut menunjukkan keprihatinan dan komitmen golongan muda dalam memperjuangkan ketelusan, akauntabiliti dan tadbir urus yang baik dalam pengurusan dana awam.
“Projek MyKiosk telah mencetuskan persoalan awam yang serius dan adalah penting supaya siasatan menyeluruh dijalankan bagi menegakkan integriti serta memulihkan keyakinan rakyat terhadap institusi kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut beliau, konsep semak dan imbang adalah teras penting dalam memastikan urus tadbir negara dilaksanakan secara adil dan telus.
Rosni turut menyeru SPRM agar menjalankan siasatan secara profesional dan telus, demi menjaga kepentingan rakyat dan mengelakkan sebarang unsur penyelewengan.
“Kebertanggungjawaban dalam pengurusan projek kerajaan bukan sahaja melindungi hak rakyat, malah memperkukuh sistem tadbir urus negara,” tegasnya.
#MyKiosk #Ketelusan #SPRM #DanaAwam #TadbirUrus #Rasuah #Integriti #WanitaBN #PemudaMCA #MalaysiaBersih