PUTRAJAYA – Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) Bumiputera disaran mempercepat usaha melahirkan graduan luar biasa yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, tetapi turut memiliki nilai tambah luar biasa seperti penguasaan pelbagai bahasa.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO), Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran, berkata kumpulan IPTS yang bernaung di bawah Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) itu perlu terus memperkukuh hala tuju institusi selaras dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (Pendidikan Tinggi) (PPPM-PT) 2015-2025.

Katanya, perhatian serius perlu ditumpukan kepada Lonjakan Pertama PPPM-PT 2015-2025 yang menekankan kepada penghasilan Graduan holistik, berciri keusahawanan dan seimbang.

“Selain itu, pendekatan baharu dalam pengajaran dan pembelajaran, termasuk pelaksanaan kaedah fleksibel seperti Work-Based Learning (WBL) dan pembelajaran menggunakan kaedah 3L (Learn by Seeing, Learn by Doing & Learn by Listening) perlu dipraktikkan bagi memenuhi keperluan generasi muda masa kini, khususnya generasi Z.

“Kaedah pembelajaran konvensional perlu diubah agar lebih fleksibel dan relevan dengan kehendak pasaran semasa dan IPTS Bumiputera disaran lebih proaktif dan agresif dalam menyesuaikan diri dengan perubahan ini,” katanya.

Beliau ketika berkata demikian Ketika menyampaikan perkongsian di Forum Masa Depan IPT Bumiputera bersama CEO MQA.

Hadir sama, Presiden PKIBM, Amir Hamzah Md Isa dan pengurusan tertinggi IPTS Bumiputera di Bawah PKIBM.  

Mohammad Shatar berkata, satu daripada ciri-ciri graduan berkualiti tinggi yang perlu dilahirkan IPTS Bumiputera ialah penguasaan pelbagai bahasa yang menjadi aspek penting dalam meningkatkan kebolehpasaran golongan itu.

Katanya, kelayakan akademik semata-mata tidak lagi menjamin peluang pekerjaan kerana pada masa kini ramai graduan memiliki kelayakan yang baik, namun kekurangan nilai tambah yang diperlukan industri.

“Pelajar digalakkan untuk melengkapkan diri dengan menguasai sekurang-kurangnya tiga bahasa asing selepas bahasa Melayu atau bahasa ibunda masing-masing.

“Penguasaan bahasa asing seperti Mandarin, Arab, Perancis, Sepanyol, Jepun, Korea dan Jerman adalah kelebihan kompetitif yang perlu dimiliki pelajar dalam suasana pasaran kerja yang semakin mencabar dan mereka tidak boleh hanya bergantung kepada segulung ijazah untuk berjaya dalam kerjaya masa depan.

“Penguasaan pelbagai bahasa boleh membuka peluang kepada graduan bekerja di syarikat multinasional, antarabangsa atau di luar negara dan jika inisiatif ini dapat dilaksanakan secara menyeluruh di negara ini.

“Pastinya hasrat Menteri Pendidikan, Datuk Seri Dr. Zambry Abd Kadir untuk menjadikan Malaysia sebagai hab pendidikan global akan dapat direalisasikan,” katanya.

By Cynthia

Leave a Reply