KUALA LUMPUR, 21 Ogos 2022 – Perdana Menteri, YAB Datuk Sri Ismail Sabri Yaakob menghadiri majlis meraikan sambutan 50 tahun penubuhan Lembaga Jurutera Malaysia (LJM) bertemakan “Engineering the Future” yang memperlihatkan sejarah pencapaian profesion kejuruteraan negara.

“Penganjuran makan malam ini juga sebagai menghargai sumbangan besar fraterniti kejuruteraan yang menjadi tulang belakang pembangunan negara selama ini, kata Ismail Sabri ketika di Majlis Makan Malam Ulangtahun ke 50 LJM disini malam ini.

Turut hadir, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Sri Fadzilah Yusof dan Yang DiPertua LJM Datuk Sri Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Profesion jurutera juga telah memberikan sumbangan signifikan kepada negara yang kini menikmati kemajuan besar bukan sahaja dalam bidang ekonomi tetapi juga teknologi kejuruteraan.

Kepakaran jurutera-jurutera tempatan membolehkan sektor infrastruktur, pembuatan, telekomunikasi, petroleum dan jana kuasa dapat dibangunkan sehingga mampu menarik pelaburan langsung asing (FDI) ke negara ini. 

Peranan dimainkan bukan hanya membantu memacu ekonomi negara tetapi juga meningkatkan kualiti hidup Keluarga Malaysia agar setanding dengan negara-negara lain, dengan LJM bertindak sebagai pengawal selia profesion berkenan.

Justeru, Malaysia sejak dua dekad lalu telah dikenali dunia dengan pembinaan struktur dan mercu tanda ikonik seperti Jambatan Pulau Pinang, Menara Berkembar Petronas, SMART Tunnel, Menara PN118 dan sebagainya, memperlihatkan kecemerlangan para jurutera kita.

Ketika Malaysia bergerak ke arah matlamat untuk mencapai status negara maju berpendapatan tinggi, Malaysia juga perlu mengekalkan momentum yang positif dalam ekosistem pembangunan negara.

Sehubungan itu, ketika melancarkan Minggu TVET pada 20 Jun lalu, Perdana Menteri menyeru semua penggerak industri untuk menjadi rakan strategik dalam usaha mempromosikan TVET kepada Keluarga Malaysia.

Tambah Ismail Sabri, “Saya difahamkan Lembaga Jurutera Malaysia turut mempunyai Majlis Akreditasi Teknologi Kejuruteraan yang memberikan akreditasi kepada program kejuruteraan TVET di institusi pengajian tinggi di Malaysia.

Memandangkan akreditasi ini diiktiraf di peringkat antarabangsa melalui penglibatan LJM dalam Sydney Accord dan Dublin Accord oleh International Engineering Alliance (IEA), maka ianya adalah satu perkembangan yang amat positif kepada kemajuan TVET negara.

Terdahulu, Kerajaan juga telah melancarkan Rangka Tindakan (Blueprint) Ekonomi Digital Malaysia pada tahun 2021 dan Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (4IR) Negara supaya Malaysia terus kekal berdaya saing di peringkat global.

“Saya difahamkan LJM juga telah membentuk satu pasukan khas untuk merangka dan melaksana strategi meningkatkan keupayaan pendigitalan firma perunding kejuruteraan.

Salah satu pencapaiannya termasuk memperkenalkan Sijil Perakuan Siap dan Pematuhan (Certificate of Completion and
Compliance atau CCC Online) secara dalam talian pada bulan November yang lalu.

Sambutan Ulang Tahun ke-50 LJM dengan slogan “Komited kepada Kecemerlangan Kejuruteraan” ini sudah pasti akan memperlihatkan tahap kematangan bukan hanya LJM tetapi juga bidang kejuruteraan tersebut.

Bidang kejuruteraan ini menuntut prinsip kecekapan, penelitian dan kebolehan dalam menyelesaikan masalah yang kompleks, sekaligus menjadi asas utama kepada kejayaan pemimpinnya.

Harvard Business Review pernah melaporkan, 34 daripada 100 Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) yang berprestasi tinggi mempunyai latar belakang di bidang kejuruteraan. Ini termasuklah di beberasyarikat gergasi yang terkemuka dunia seperti Microsoft, General Motor dan Amazon.

Pada majlis ini juga, anugerah Tokoh Kejuruteraan Malaysia BEM dan Tokoh Muda Kejuruteraan Malaysia BEM turut diperkenalkan buat julung kalinya bagi menobatkan jurutera yang berbakat itu supaya menjadi pemimpin hebat.

“Saya menyarankan usaha lebih agresif dan serius dilakukan bagi melantik lebih ramai jurutera mengisi jawatan-jawatan strategik dan pembuat dasar di perkhidmatan awam, ujar Ismail Sabri.

Malah, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga disarankan melantik dikalangan jurutera untuk mengisi jawatan pengurusan atasan syarikat seperti ahli Lembaga Pengarah dan juga Ketua Eksekutif.

Kerajaan juga memandang serius isu gaji permulaan jurutera yang rendah yang akan menjejaskan golongan muda untuk menceburi profesion kejuruteraan ini.

Perkara ini jika tidak diselesaikan akan menjejaskan pembangunan dan ekonomi negara oleh kerana nisbah seorang jurutera berbanding penduduk di Malaysia jauh lebih rendah jika dibandingkan dengan negara seperti Jepun dan Jerman.

Gaji dan imbuhan dalam skim Kejuruteraan Perkhidmatan Awam perlu dikaji semula dengan mengambil kira faktor-faktor seperti kepakaran kejuruteraan, kos sara hidup dan sebagainya.

Dalam usaha untuk memartabatkan profesion ini, jurutera Malaysia perlu lebih agresif untuk berinovasi dan menghasilkan produk dan teknologi yang mempunyai nilai pasaran yang tinggi.

Kerajaan sentiasa menggalakkan usaha penyelidikan dan pembangunan (R&D) agar Malaysia bukan lagi menjadi sekadar pengguna teknologi tetapi sebaliknya sebagai pencipta dan pengeluar teknologi.

“Saya dimaklumkan LJM kini dalam usaha meminda Akta Pendaftaran Jurutera 1967 dan pindaannya diharap akan dapat disegerakan supaya mampu berperanan sebagai badan kawal selia profesion kejuruteraan yang berkesan dan profesional demi memelihara kepentingan dan keselamatan orang awam.

“Saya percaya bahawa profesion kejuruteraan akan kekal menjadi tunjang pembangunan negara untuk 50 tahun akan datang, kata Ismail Sabri lagi.

Leave a Reply