
“Ada Duit, Semua Boleh!”
KUALA LUMPUR, 10 November 2025 – Aktivis sosial Dato’ Dr. Kalaivanar daripada Sekretariat Bahana Kesetiaan Negara hari ini mendesak Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) agar tidak bersikap double standard dalam penguatkuasaan undang-undang berkaitan binaan tembok haram di kawasan perumahan Taman Tayton View, Cheras.
Menurut beliau, isu itu membabitkan aduan daripada seorang penduduk, Cik Lili, yang mendakwa jirannya membina struktur tembok melebihi had undang-undang serta menutup laluan dan longkang awam tanpa tindakan tegas daripada pihak berkuasa tempatan.
“Undang-undang jelas menyatakan jarak di antara rumah teres hanyalah 1.524 meter. Tetapi di sini kita nampak lebih daripada 10 kaki. Persoalannya — di mana DBKL? Kenapa tiada tindakan?” tegas Dato’ Dr. Kalaivanar ketika ditemui di lokasi.

Beliau turut menyifatkan tindakan DBKL yang tidak menguatkuasakan undang-undang terhadap pihak terbabit sebagai “double standard” dan melanggar prinsip rule of law yang diamalkan di negara demokratik.
“Saya tidak peduli siapa pun dia — Datuk, Tan Sri, Tun atau pemimpin parti berpengaruh — nobody is above the law! Kalau orang biasa buat salah, cepat sahaja kena saman dan disita. Tapi bila orang berpangkat tinggi, DBKL senyap,” ujarnya lagi.
Dalam sidang media yang berlangsung sekitar jam 3.50 petang, beliau turut mendedahkan bahawa kawasan berkenaan pada asalnya merupakan padang permainan yang telah digazetkan sejak tahun 1968, namun dipercayai telah ditukar menjadi kawasan kediaman tanpa penjelasan jelas daripada pihak DBKL.
“Macam mana padang yang digazet boleh bertukar jadi rumah? Adakah semua boleh dibeli dengan duit?” soal beliau dengan nada tegas sambil membawa wartawan meninjau lokasi berkenaan.
Dato’ Dr. Kalaivanar menegaskan bahawa beliau telah menghubungi Datuk Bandar Kuala Lumpur serta Pengarah Bahagian Pengurusan Bangunan DBKL, dan akan menghantar surat rasmi kepada Menteri KPKT, Nga Kor Ming, untuk campur tangan segera.
Beliau turut memberi tempoh 10 hari kepada DBKL untuk mengambil tindakan tegas termasuk menyaman pihak terbabit dan meroboh binaan tembok yang melanggar undang-undang.
“Kalau masih tiada tindakan, kita akan adakan demonstrasi besar-besaran di hadapan DBKL. Rakyat marhaen berhak mendapat keadilan,” katanya sambil menegaskan bahawa rakyat tidak boleh terus ditindas oleh golongan yang menyalahgunakan kuasa dan pengaruh politik.
Apabila ditanya wartawan mengenai dakwaan bahawa pemilik rumah terbabit merupakan seorang pemimpin parti politik berpengaruh, Dato’ Dr. Kalaivanar menjawab tegas:
“Saya tak peduli siapa pun dia, parti mana pun dia. Mantan Perdana Menteri pun boleh dipenjara. Jadi siapa yang lebih besar daripada undang-undang? Jangan cabar undang-undang negara ini.”
Beliau menutup kenyataannya dengan peringatan keras bahawa undang-undang mesti ditegakkan tanpa pilih kasih — kerana dalam negara demokrasi, keadilan tidak boleh dijual beli dengan darjat atau pangkat.
#NobodyIsAboveTheLaw #DBKLDoubleStandard #KeadilanUntukRakyat #BahanaKesetiaanNegara #CherasTaytonView #AktivisSuaraRakyat #PadangJadiRumah #LawOfJungle #NgaKorMing #TegakkanUndangUndang
