KUALA LUMPUR, 27 Mei 2025 – Kerteh FC hari ini secara rasmi mengumumkan kerjasama strategik bersama jenama tempatan, Hakka.clo, sebagai Rakan Strategik Rasmi kelab bagi musim 2025 hingga 2027. Perkongsian ini merangkumi penyediaan pakaian rasmi perlawanan serta kelengkapan pasukan untuk semua skuad Kerteh FC, bermula dari skuad pembangunan bawah 6 tahun (U6) hingga ke pasukan utama.

Pengumuman ini mencerminkan langkah proaktif Kerteh FC dalam memperkukuh identiti korporat kelab serta menjalin kerjasama berimpak tinggi bersama jenama tempatan yang berkualiti dan berwawasan.

“Kerjasama ini merupakan satu langkah strategik yang bukan sahaja memenuhi keperluan teknikal skuad kami, malah memperkukuhkan usaha membina jenama Kerteh FC secara menyeluruh. Kami percaya nilai dan aspirasi Hakka Clo sejajar dengan visi kelab untuk jangka panjang,” ujar Muhammad Yunus Zakariah, Wakil Pemasaran dan Komersial Kerteh FC.

Dalam pada itu, Hafiz, Pengurus Pemasaran Hakka Clo, turut menzahirkan rasa teruja terhadap kerjasama ini.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Kerteh FC, sebuah kelab yang progresif dan berakar dalam komuniti. Kami berharap rekaan dan solusi kami dapat menyumbang kepada prestasi dan penampilan profesional kelab di dalam dan luar padang.”

Perjanjian ini bukan sahaja memberi nilai tambah kepada kelab dari segi penjenamaan dan imej profesional, malah dilihat sebagai usaha berterusan dalam memperkukuh hubungan kelab dengan komuniti serta memperluaskan pengaruh jenama ke peringkat nasional.

#KertehFC #HakkaClo #KerjasamaStrategik #BersamaLebihKuat #KelabKomuniti #DariAkarKePuncak #JersiBaruSemangatBaru #JenamaTempatan #BolaSepakMalaysia #IdentitiBaharuKertehFC

Leave a Reply