Foto Sudasan

KUALA LUMPUR – Mega Star Arena menjadi saksi kepada sebuah malam yang penuh emosi, kenangan dan keindahan muzik apabila kumpulan R&B legenda, Boyz II Men, kembali menggegarkan pentas Malaysia sebagai sebahagian daripada siri jelajah dunia mereka yang bertemakan “Legacy of Love”.

Sejak awal, ribuan peminat telah memenuhi ruang dewan dengan wajah penuh keterujaan. Sambil menunggu kemunculan kumpulan pujaan mereka, hadirin dihiburkan dengan alunan lagu-lagu klasik dari era 70-an hingga 90-an yang diputarkan oleh DJ terkenal, DJ Skeletor.

Pilihan lagu yang nostalgik itu berjaya mewujudkan suasana hangat dan santai, mencetuskan semangat yang akhirnya memuncak tepat jam 9 malam.

Sorakan gemuruh bergema sebaik sahaja Boyz II Men melangkah ke pentas, memulakan persembahan dengan lagu pembukaan “Can’t Let Her Go”.

Kehadiran mereka disambut dengan penuh semangat oleh lebih 5,000 peminat, yang sebahagiannya telah mengikuti perjalanan muzik kumpulan ini sejak awal 90-an.

Dengan vokal harmoni yang masih kekal padu dan karisma pentas yang tidak berubah, trio ini membuktikan bahawa mereka masih mampu memikat dan menggamit jiwa penonton dari pelbagai generasi.

Barisan lagu-lagu hits yang pernah mengungguli carta antarabangsa seperti “On Bended Knee”, “It’s So Hard To Say Goodbye To Yesterday” dan “End of the Road” mengisi setlist malam itu, mencetuskan gelombang emosi dalam kalangan penonton yang turut menyanyi bersama, sebahagian besar daripada mereka dengan mata berkaca mengenang zaman muda dan momen-momen penting dalam hidup yang diiringi oleh lagu-lagu berkenaan.

Konsert ini turut menampilkan segmen penghargaan khas kepada tiga ikon muzik dunia yang menjadi inspirasi utama kumpulan itu seperti Michael Jackson, Whitney Houston dan Prince.

Persembahan tribute itu menyentuh hati ramai dan menjadi bukti betapa luasnya pengaruh muzik dalam merentas budaya dan masa.

Bagi Boyz II Men, konsert ini bukan sekadar persembahan, tetapi juga sebuah pertemuan semula bersama peminat Malaysia yang telah memberikan sokongan tidak berbelah bahagi selama lebih 30 tahun.

Mereka menyatakan rasa syukur atas sambutan luar biasa yang diterima, serta mengakui Malaysia sentiasa memberikan kenangan manis dalam siri jelajah mereka.

“Setiap kali kami datang ke sini, kami rasa disambut seperti keluarga.

“Terima kasih kerana masih bersama kami dalam perjalanan ini,” kata mereka dalam satu luahan yang mendapat sorakan panjang dari seluruh dewan.

Kuala Lumpur adalah salah satu hentian terawal dalam siri jelajah “Legacy of Love” yang turut membabitkan persembahan di negara jiran seperti Singapura, Thailand dan Filipina.

Selepas Malaysia, kumpulan ini akan meneruskan perjalanan ‘tour’ mereka ke Indonesia, Australia dan New Zealand.

Konsert terakhir mereka di Malaysia berlangsung pada 1 Disember 2019, menjadikan kemunculan kali ini sebagai momen yang amat dinanti-nantikan oleh peminat tempatan.

Dengan gabungan kemantapan vokal, persembahan bertenaga dan hubungan emosional yang kukuh dengan peminat, Boyz II Men sekali lagi membuktikan bahawa muzik sejati tidak pernah luput dan ia terus hidup dalam hati serta ingatan mereka yang mendengar.

By Cynthia

Leave a Reply