MOSCOW, 30 Mei 2025 – Malaysia sekali lagi memperkukuh pendiriannya dalam hal ehwal keselamatan antarabangsa dengan menekankan kepentingan keselamatan yang adil, inklusif dan bebas daripada dominasi kuasa besar di pentas global.

Timbalan Menteri Dalam Negeri, YB Datuk Seri Dr. Shamsul Anuar Nasarah, telah mewakili negara dalam sesi plenari bertajuk “Shaping Architecture of Equal and Indivisible Security: Challenges and Opportunities for States of Global South and East” sempena Persidangan Antarabangsa Keselamatan Ke-13 (13th High Representatives for Security Matters, HROSM) yang berlangsung di Moscow, Rusia pada 28 Mei 2025.

Sesi berprofil tinggi ini dipengerusikan oleh Menteri Luar Rusia, TYT S.V. Lavrov dan turut menghimpunkan wakil dari 114 negara. Presiden Rusia, V.V. Putin turut menyampaikan ucapan pembukaan secara video.

Dalam ucapannya, YB Datuk Seri Dr. Shamsul menekankan bahawa Malaysia menyokong pendekatan keselamatan global yang bersifat kolaboratif dan berasaskan undang-undang antarabangsa, menolak sebarang bentuk sekatan dan politik blok yang eksklusif.

“Keamanan sejati hanya boleh dicapai menerusi dialog, kerjasama dan penghormatan terhadap kedaulatan negara – bukan melalui dominasi atau tekanan geopolitik,” ujar beliau.


Malaysia juga mengangkat prinsip ASEAN Centrality dan Zon Keamanan, Kebebasan dan Berkecuali (ZOPFAN) sebagai asas kestabilan di rantau Asia Tenggara. Dr. Shamsul turut menekankan bahawa definisi keselamatan mesti diperluas melangkaui aspek ketenteraan, merangkumi keadilan sosial, keselamatan ekonomi, kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan rakyat.

Dalam usaha menjadikan dunia lebih seimbang dan demokratik, Malaysia menggesa reformasi menyeluruh ke atas Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) agar suara negara-negara membangun diberi perhatian dan peranan lebih signifikan.

Beliau juga menyeru pengukuhan kerjasama Selatan-Selatan, terutamanya dalam menghadapi cabaran seperti keselamatan siber, perubahan iklim, bencana alam dan isu kesihatan awam global.

YB Datuk Seri Dr. Shamsul menyatakan bahawa Malaysia kekal komited menjadi rakan kongsi yang setara kepada semua negara, demi membina masa depan dunia yang aman, adil dan sejahtera.

#MalaysiaDiMoscow #KeselamatanSejagat #DiplomasiMalaysia #GlobalSouthVoices #ZOPFAN #ASEANCentrality #ReformasiPBB #SelatanSelatan #KeamananInklusif #ShapingSecurityTogether

Leave a Reply