KUALA LUMPUR, 29 Mei 2025 – Pelakon terkenal, Amar Baharin, dan Penjelajah Grand Slam negara, Datuk Muhamad Muqharabbin Mokhtaruddin atau lebih dikenali sebagai Qobin, selamat menamatkan misi pengembaraan mereka “Journey to Tanah Haram” apabila tiba di Masjid Nabawi, Madinah pada jam 10.45 pagi tadi.

Mereka tiba selepas menempuh kayuhan terakhir sejauh 115 kilometer dari pekan Henakiyah, menandakan penamat kepada perjalanan mencabar yang bermula dari Padang Besar, Perlis, pada 27 April lalu.

Dalam kenyataan kepada media, Qobin melahirkan rasa syukur atas kejayaan misi yang menuntut ketahanan fizikal dan spiritual.

“Alhamdulillah, syukur kepada Allah kerana mengizinkan kami menjejakkan kaki ke bumi Madinah, sebahagian besarnya dengan berkayuh basikal serta bantuan kenderaan darat dan udara. Kami tidak mengejar rekod – ini adalah impian kami bersama, untuk sampai ke tanah suci melalui pengembaraan darat,” ujar Qobin.

Amar pula menggambarkan pengembaraan ini sebagai pengalaman yang amat menguji jiwa dan raga.

“Ini adalah satu pengembaraan epik. Cuaca sangat mencabar – suhu mencecah 50 darjah Celsius. Saya masih tergamam kerana kami benar-benar berjaya sampai ke Madinah dengan basikal. Perasaan terharu dan syukur tidak dapat digambarkan,” katanya.

Misi ini turut mendapat sokongan Diraja apabila ia dilepaskan secara rasmi oleh Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail. Dalam tempoh 33 hari, mereka merentasi empat negara sebelum menamatkan kayuhan di kota suci Madinah.

Mereka dijangka menziarahi Makam Rasulullah SAW dalam masa terdekat.

#JourneyToTanahHaram #AmarBaharin #DatukQobin #MasjidNabawi #PengembaraanIman #KayuhanKeMadinah #Misi33Hari #InspirasiHijrah #TanahSuci2025 #ZiarahDenganBasikal

Leave a Reply