KUALA LUMPUR, 31 Mei 2025 – Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) belum menerima sebarang permohonan rasmi keanggotaan daripada YB Senator Datuk Seri Utama Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz, demikian menurut Setiausaha Agung KEADILAN, Dr. Fuziah Salleh.
Dalam satu kenyataan rasmi, Dr. Fuziah menjelaskan bahawa semua permohonan keanggotaan KEADILAN dilakukan melalui platform dalam talian. Setiap permohonan yang diterima akan melalui proses saringan biasa sebelum dibawa ke Mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) untuk pertimbangan dan keputusan rasmi.
“Permohonan akan diteliti dan dipertimbangkan secara sewajarnya dengan mengambil kira pelbagai sudut pandang, termasuk pandangan rakan-rakan dalam Kerajaan Perpaduan serta pendapat akar umbi,” ujar beliau.
Sementara itu, Dr. Fuziah turut memaklumkan bahawa Tengku Zafrul akan menunaikan ibadah haji dalam masa terdekat. “KEADILAN mendoakan agar beliau selamat pergi dan kembali, serta memperoleh haji yang mabrur,” tambah beliau.
Kenyataan ini hadir selepas spekulasi di media sosial mengenai kemungkinan penyertaan Tengku Zafrul dalam parti KEADILAN, yang mendapat perhatian warganet dan penganalisis politik.

#KEADILAN.#TengkuZafrul #PolitikMalaysia #KerajaanPerpaduan #FuziahSalleh #PermohonanParti #HajiMabrur #IsuSemasa #PKR #MalaysiaTerkini