KUALA LUMPUR, 30 Mei 2025 – Tindakan Perdana Menteri yang memohon penangguhan perbicaraan kes saman sivil oleh bekas pembantunya, Yusof Rawther, telah mencetuskan reaksi tegas daripada pertubuhan bukan kerajaan, UMMAH Malaysia, yang melihat langkah tersebut sebagai bukti ketidakpercayaan terhadap sistem kehakiman negara.

Perbicaraan yang sepatutnya dijadualkan berlangsung dari 16 hingga 19 Jun dan disambung dari 23 hingga 25 Jun kini berdepan ketidakpastian susulan permohonan pihak Perdana Menteri untuk membawa isu kekebalan ke Mahkamah Persekutuan.

Pengerusi UMMAH Malaysia, Mohd Zai Mustafa, dalam kenyataan medianya berkata, langkah tersebut mencetuskan persoalan besar tentang prinsip keadilan dan integriti yang selama ini dilaungkan oleh kepimpinan negara.

“Sebelum ini Datuk Seri Anwar sering menegaskan kepercayaannya terhadap sistem perundangan di bawah kerajaan Madani. Namun, tindakan memohon imuniti ini seolah-olah menunjukkan sebaliknya,” tegas Mohd Zai.


Beliau mempersoalkan kewajaran seseorang Perdana Menteri memiliki kekebalan daripada tindakan undang-undang dan menzahirkan kebimbangan terhadap implikasi keadilan jika pemimpin negara dikecualikan daripada proses perbicaraan.

“Jika benar seorang Perdana Menteri tidak boleh dibicarakan kerana ada imuniti, maka ini bercanggah dengan prinsip kedaulatan undang-undang. Rakyat akan melihat bahawa undang-undang hanya terpakai kepada golongan marhaen, bukan pemimpin,” tambah beliau.


UMMAH Malaysia turut menggesa agar Perdana Menteri mengambil pendekatan berani dengan meneruskan perbicaraan seperti dijadualkan dan mengambil cuti sementara waktu bagi membolehkan proses perundangan berjalan secara adil tanpa campur tangan eksekutif.

“Ini peluang terbaik untuk Perdana Menteri membersihkan nama dan membuktikan beliau tidak bersalah. Tindakan ini akan memulihkan keyakinan rakyat terhadap sistem keadilan dan integriti kepimpinan negara,” ujar Mohd Zai.


Kenyataan UMMAH Malaysia ini dijangka akan menambah tekanan politik terhadap kerajaan Madani yang kini berdepan ujian kepercayaan dalam isu integriti dan ketelusan.

#KeadilanUntukRakyat #TiadaSiapaKebal #BeraniKeranaBenar #UMMAHMalaysia #ImunitiPM #KedaulatanUndangUndang #PerbicaraanAdil #RakyatMemerhati #IntegritiPemimpin #MahkamahUntukSemua

Leave a Reply