SHAH ALAM – Pusat peningkatan akademik terkemuka, PTTI terus mencipta kejayaan membanggakan apabila berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar yang bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam seminar berskala besar anjuran mereka, Road Tour Mula Awal Skor A+ SPM PTTI, yang berlangsung di Ideal Convention Centre (IDCC), hari ini.
Acara mega itu adalah sebahagian daripada siri jelajah pendidikan PTTI, mencatat sejarah sebagai salah satu seminar akademik terbesar dianjurkan setakat ini dengan lebih 3,000 peserta hadir dari negeri Selangor sahaja, manakala selebihnya datang dari pelbagai negeri di seluruh Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman berkata, pencapaian luar biasa ini membuktikan kesungguhan tinggi dalam kalangan pelajar untuk bersedia lebih awal menghadapi peperiksaan yang bakal menentukan masa depan mereka.
“Program ini bukan sahaja berjaya menghimpunkan lebih 4,000 pelajar, malah turut menunjukkan betapa seriusnya pelajar generasi kini dalam mencari peluang dan kaedah terbaik untuk mencapai kecemerlangan dalam SPM,” katanya.

Menurutnya, seminar ini direka khusus untuk memberi pendedahan kepada pelajar tentang teknik menjawab soalan dengan lebih berkesan, selain memberi fokus kepada subjek-subjek utama seperti Matematik dan Sains Tulen yang sering dianggap mencabar.
“Kami di PTTI percaya pendedahan awal dan teknik pembelajaran yang betul mampu mengubah corak pemahaman pelajar.
“Setiap tahun kami terus menambah baik pendekatan kami, dan hasilnya telah kami lihat melalui kejayaan ribuan pelajar yang pernah mengikuti program kami,” katanya.
Sejak ditubuhkan lebih 10 tahun lalu, PTTI telah melahirkan lebih 800,000 pelajar berprestasi tinggi. Bagi tahun 2024 sahaja, seramai 400 pelajar berjaya memperoleh keputusan straight A dalam SPM hasil bimbingan intensif daripada tenaga pengajar PTTI.
Seminar itu turut mendapat perhatian ramai apabila menampilkan figura-figura terkenal seperti Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman serta selebriti tanah air iaitu Bella Astillah yang menyampaikan amanat dan inspirasi kepada peserta, menyuntik semangat juang dalam kalangan pelajar.

Beberapa artis dan personaliti popular tanah air turut hadir memeriahkan acara termasuk MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah dan Asyraf Khalid, menambahkan lagi keterujaan dan motivasi dalam kalangan pelajar.
Lebih manis, PTTI turut dianugerahkan dua pengiktirafan daripada Malaysia Book of Records (MBOR) atas pencapaian luar biasa mereka masing-masing bagi kategori “Most Straight A’s in a Tuition” dengan 400 pelajar memperoleh semua A dan “Most SPM Grade A’s Obtained by a Tuition” selepas mengumpulkan 18,432 gred A melalui keputusan pelajar bimbingan mereka.
Dengan pencapaian ini, PTTI terus mengukuhkan reputasinya sebagai pusat bimbingan akademik pilihan utama pelajar dan ibu bapa, serta menjadi pencetus semangat untuk lebih ramai pelajar mengorak langkah ke arah kecemerlangan pendidikan.