SHAH ALAM – Dalam langkah signifikan memperkukuh pendidikan inklusif di Malaysia, Pusat Tuisyen PTTI menyerahkan sumbangan tajaan pendidikan berjumlah RM100,000 kepada Parlimen Muar, Johor.

Sumbangan itu diterima oleh Ahli Parlimennya, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, dalam satu majlis yang berlangsung sempena program Roadtour Skor A+ SPM PTTI di IDCC Shah Alam, hari ini.

Inisiatif ini bertujuan membantu pelajar-pelajar daripada keluarga kurang berkemampuan di kawasan Parlimen Muar dalam membuat persediaan menghadapi peperiksaan SPM.

Tajaan itu akan membolehkan pelajar terpilih menikmati akses percuma kepada kelas dalam talian PTTI, selain menerima sokongan pembelajaran tambahan yang diyakini dapat meningkatkan prestasi akademik mereka.

Syed Saddiq berkata, sumbangan berkenaan sebagai pelaburan jangka panjang dalam membina masa depan anak-anak Malaysia.

Katanya, pendidikan berkualiti seharusnya dapat dinikmati semua lapisan masyarakat, tanpa mengira latar belakang ekonomi.

“Sumbangan daripada PTTI ini amat bermakna, bukan sahaja dari segi nilai, tetapi dari segi impaknya terhadap kehidupan pelajar.

“Ramai ibu bapa di kawasan saya tidak mampu menghantar anak ke kelas tambahan, apatah lagi membeli peralatan pembelajaran seperti komputer riba. Inisiatif sebegini memberi harapan baharu kepada mereka,” katanya.

Beliau turut mengumumkan RM20,000 daripada jumlah tajaan akan disumbangkan semula dalam bentuk peranti digital seperti komputer riba dan tablet, yang akan diserahkan kepada pelajar menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha ini.

Langkah itu menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kepada pelajar mencecah RM120,000.

Menekankan kepentingan merapatkan jurang pendidikan antara kawasan bandar dan luar bandar, Syed Saddiq menganggap peranan institusi seperti PTTI amat penting dalam membawa pendidikan ke tempat yang memerlukannya.

“Bayangkan anak-anak di kawasan luar bandar seperti Sungai Balang, jauh dari akses kepada tuisyen berkualiti.

“Dengan adanya pembelajaran dalam talian dan bantuan sebegini, mereka tidak lagi ketinggalan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif PTTI, Siti Farhana Abu Osman atau lebih dikenali sebagai Cikgu Farhana berkata, sumbangan ini adalah sebahagian daripada misi PTTI untuk menyokong pelajar dari pelbagai latar belakang agar mereka mampu mencapai kejayaan akademik.

“Lebih 800,000 pelajar telah dibimbing oleh PTTI sepanjang sedekad kami beroperasi.

“Tahun lalu sahaja, 400 pelajar kami memperoleh keputusan straight A dalam SPM. Ini membuktikan bahawa dengan teknik dan pendekatan yang betul, setiap pelajar berpotensi untuk cemerlang,” katanya.

Menurutnya, PTTI memberi penekanan khusus terhadap subjek-subjek kritikal seperti Matematik, Fizik dan Kimia subjek yang kerap menjadi cabaran utama bagi pelajar SPM.

Majlis penyampaian tajaan itu turut berlangsung serentak dengan program Roadtour Skor A+ SPM PTTI yang berjaya menghimpunkan hampir 4,000 calon SPM dari seluruh negara.

Program berkenaan memberi pendedahan awal kepada pelajar tentang teknik menjawab soalan, strategi belajar berkesan serta motivasi menjelang peperiksaan.

Program bertambah istimewa dengan kehadiran beberapa figura ternama, termasuk selebriti Bella Astillah serta personaliti popular seperti MK K-Clique, Iman Troye, Zaki Yamani, Nabila Razali, Space Dollah dan Asyraf Khalid, yang turut berkongsi pengalaman dan menyuntik semangat kepada pelajar.

Sumbangan dan program seumpama ini sekali lagi membuktikan peranan penting kerjasama antara sektor pendidikan swasta dan pemimpin masyarakat dalam memastikan akses kepada ilmu tidak terbatas oleh faktor ekonomi atau geografi.

By Cynthia

Leave a Reply