PETALING JAYA – Kejayaan bukan hadir sekelip mata, namun dengan usaha yang berterusan dan semangat tidak kenal putus asa, impian mampu menjadi kenyataan.
Itulah yang dibuktikan oleh pelakon dan usahawan, Reen Rahim yang menerima pengiktirafan besar apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Perniagaan Cemerlang Tahunan 2025 dalam majlis berprestij, Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025, baru-baru ini.

Dalam nada penuh syukur, Reen mengakui penghargaan itu bukan sahaja menjadi simbol kejayaan buat dirinya dan suami, Hazim Zainal, tetapi turut menjadi pemangkin semangat untuk terus memajukan jenama produk penjagaan diri milik mereka, Reen Rahim Hygiene Wash.


Usaha membina perniagaan dari bawah bukanlah mudah, namun mereka berpegang teguh pada prinsip untuk tidak berhenti bermimpi dan terus berusaha meskipun berdepan pelbagai cabaran.
“Kami sangat terharu apabila diiktiraf dalam kalangan usahawan lain yang hebat. Trofi ini kami anggap sebagai hadiah buat setiap titik peluh yang telah dicurahkan.
“Lebih penting, kami mahu kejayaan ini menjadi sumber inspirasi buat mereka yang sedang membina jenama sendiri,” kata Reen yang kini aktif dalam bidang keusahawanan selain lakonan.
Reen berkata, setiap orang harus berani mengejar impian dan tidak takut untuk mencuba.
Baginya tidak ada yang mustahil selagi seseorang itu berusaha dan terus berdoa kepada Tuhan.
“Saya mungkin bukan orang yang pandai memberi nasihat, tapi saya percaya semua orang ada peluang yang sama.
“Jangan pernah berhenti bermimpi. Percaya pada diri sendiri dan doa itu adalah kunci utama,” katanya lagi.
Pada majlis sama, Reen turut meraih satu lagi pencapaian membanggakan apabila diumumkan sebagai penerima Anugerah Aktres Paling Dikagumi Malaysia 2025 sebuah penghormatan istimewa yang cukup bermakna selepas lebih 15 tahun mencurahkan bakti dalam industri seni tanah air.
Suaminya, Hazim turut berkongsi rasa syukur atas kejayaan itu dan menyifatkannya sebagai bukti bahawa doa serta restu ibu bapa memainkan peranan penting dalam setiap langkah kehidupan.
“Kami hanyalah insan biasa yang memulakan semuanya dari bawah. Tanpa sokongan keluarga dan reda Allah, tidak mungkin kami dapat berdiri seteguh hari ini.
“Kalau ditanya rahsia kejayaan, mudah saja jangan lawan cakap isteri,” katanya berseloroh.
Pasangan ini turut menarik perhatian apabila berkongsi detik istimewa menghadiri Anugerah Personaliti Industri dan Usahawan Malaysia 2025 anjuran NiagaTimes yang kini memasuki edisi kesembilan penganjurannya.
Untuk makluman, Reen dan Hazim telah mendirikan rumah tangga pada 24 Disember 2022 dan sejak itu, terus berganding bahu mengemudi dunia perniagaan dan kehidupan berumah tangga dengan jayanya.