SEPANG – Kejayaan institusi pendidikan tinggi (IPT) tempatan perlu diketengahkan kepada masyarakat bagi mengelak persepsi tidak tepat terhadap sektor pendidikan negara.
Ketua Pegawai Eksekutif Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Prof. Datuk Dr. Mohammad Shatar Sabran berkata, banyak pencapaian cemerlang IPT masih tidak diketahui umum.
“Ramai dalam kalangan masyarakat tidak menyedari pencapaian luar biasa yang diraih universiti dan IPT kita, sama ada di peringkat nasional mahu pun antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata, hal itu menyebabkan wujud tanggapan bahawa mutu pendidikan tinggi negara semakin merosot, sedangkan realitinya jauh lebih baik.
Katanya, kualiti IPT kita diiktiraf pada peringkat global menerusi pelbagai penarafan dan pengiktirafan antarabangsa.
“Pihak Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), agensi di bawahnya serta IPT telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan pembaharuan yang wajar dikongsi kepada rakyat secara meluas.
“Semua pencapaian ini perlu dipromosikan melalui platform rasmi dan media sosial institusi agar masyarakat dapat menilai pencapaian sebenar.
“Langkah ini selari dengan hasrat Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Diraja Dr. Zambry Abdul Kadir yang mahu meningkatkan keterlihatan pendidikan tinggi kepada masyarakat tempatan dan global,” katanya selepas majlis perasmian Hari TVET Negara di Melaka, semalam.
Dalam perkembangan lain, Mohammad Shatar berkata, kejayaan sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) turut wajar diketengahkan.
Katanya, kini, masyarakat tidak boleh lagi menganggap TVET sebagai pilihan kedua kerana kualiti program TVET hari ini adalah setaraf dengan program akademik.
“Kadar kebolehpasaran graduan TVET kini melebihi 98 peratus dan membuktikan permintaan tinggi terhadap kemahiran dalam pasaran kerja.
“Jika pencapaian ini tidak diumumkan, masyarakat akan terus memandang rendah terhadap TVET dan mengekalkan persepsi lapuk terhadap bidang tersebut,” katanya.