KUALA LUMPUR, 16 Jun 2025 — Wartawan harus bebas, jujur dan adil apabila melapor demi kepentingan rakyat — bukan demi memenuhi kepentingan mana-mana kelompok.
Ini ditegaskan oleh Nik Suryani Megat Deraman, Presiden Persatuan Kewartawanan Multimedia Malaysia (PKMM) apabila beliau berkongsi mengenai peranan media dan wartawan semasa, hari ini.
Nik Suryani juga meluahkan perasaannya apabila diberitahu terdapat golongan Gen-Z yang ingin menjadikan kewartawanan sebagai kerjaya, sambil melahirkan kesyukuran apabila seorang daripadanya diterima melanjutkan pengajian di UITM.
“Saya tidak pernah menganggap diri saya sebagai wartawan penyiaran yang hebat, tapi kewartawanan adalah nadi hidup saya dan rakan wartawan yang bersama-sama mencari kebenaran setiap hari,” katanya.
Beliau turut menekankan kepentingan kebebasan wartawan — bebas melapor, bebas berfikir, dan bebas membuat pendirian — tanpa dipengaruhi oleh mana-mana kepentingan.
“Bila diberi ‘topi wartawan’, kepentingan peribadi harus diketepikan. Kita melapor untuk rakyat, bukan untuk sesiapa. Jika wartawan membiarkan diri dipandu oleh kuasa, lambat-laun media akan kehilangan arah dan kepercayaan masyarakat, lalu mati. Wartawan bukan alat, tapi penyampai kebenaran,” katanya lagi.
Nik Suryani juga menyeru wartawan lebih peka, adil dan jujur walau apa sekalipun tekanan yang diterima, sambil menjaga hubungan dekat dengan masyarakat dan realiti di lapangan.
“Ketika wartawan terlalu rapat dengan yang berkuasa, atau lebih mencari gelaran, acara rasmi dan bergambar bersama VIP, hati akan terpisah dari masalah rakyat. Kepercayaan rakyat ialah maruah media — tanpanya, media tidak lebih dari sebuah instrumen memenuhi kepentingan kelompok tertentu.”
Jelasnya, HAWANA 2025 harus menjadi peringatan penting mengenai nilai kewartawanan yang bebas, bermaruah, dan mampu menyuarakan kebenaran demi kepentingan rakyat.
“Generasi wartawan akan datang harus mempertahankan semangat bebas dan bermaruah, demi menjaga integriti dan peranan media sebagai ruang kebenaran dan keadilan untuk masyarakat.” — PKMM
#NikSuryani #PKMM #MediaBebas #WartawanBermaruah #HAWANA2025 #GenerasiHarapan #BentukMasyarakatBenar #BertegasDemiRakyat #JurnalismeBerkualiti #JanganJadiAlat