KUALA LUMPUR,16 Jun 2025 — Ketua UMNO Bahagian Batu, Datuk Gulam Muszaffar Gulam Mustakim, tampil menyanggah kenyataan Perdana Menteri (PMX) Datuk Seri Anwar Ibrahim yang disampaikan semalam mengenai Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) di Perhimpunan Perak.
Menurut Datuk Gulam, PMX melakukan kesilapan apabila menyatakan GST ialah “General Service Tax”, sedangkan maksudnya ialah “Good Service Tax”, atau Cukai Barangan dan Perkhidmatan. Malah, katanya, GST juga bukan satu cukai yang meliputi semua barangan dan perkhidmatan — sebaliknya terdapat pelbagai barangan asas seperti ikan, telur, daging, sayur, gula, tepung, dan roti dikecualikan di bawah rejim tersebut.
“Saya termangu seketika apabila mendengar kenyataan YAB PMX. Pegawai mana di Kementerian Kewangan yang memberikan maklumat yang salah sehingga beliau keliru mengenai GST?” soal Datuk Gulam.
Beliau juga meluahkan kebimbangan mengenai prestasi ekonomi semasa, termasuk prestasi bursa saham yang tidak memberangsangkan dan Kadar Keperluan Rizab (SRR) yang turun kepada 1%. Dalam keadaan sebegini, katanya, pelaksanaan semula GST lebih sesuai demi menjana pendapatan dan menjaga kewangan negara.
“Adakah disebabkan GST merupakan inisiatif zaman Datuk Seri Najib dan Barisan Nasional, maka kerajaan tidak sanggup melaksanakannya semula? Saya menyarankan YAB PMX untuk belajar lebih mendalam mengenai pelaksanaan GST, mungkin boleh belajar terus dari YB DS Ahmad Maslan yang merupakan penerangan paling arif mengenai cukai tersebut”, katanya lagi.
Ketua UMNO Batu juga menekankan bahawa pendiriannya bukan untuk menentang arus, malah demi kepentingan rakyat dan ekonomi negara. “Saya lebih pro rakyat dan lebih peka terhadap masalah yang dihadapi rakyat di bawah”, katanya.
#GST #PMX #AnwarIbrahim #UMNOBatu #Cukai #CukaiBarangDanPerkhidmatan #GeneralServiceTax #GoodServiceTax #EkonomiNegara #RakyatDidahulukan