Kemahiran Baharu, Peluang Baharu: TVET Buka Jalan Jana Pendapatan


KUALA LUMPUR, 22 Jun 2025 – Beberapa peserta berjaya menamatkan Kursus Kemahiran (TVET) Jangka Pendek anjuran Kelab Perintis Muda Kreatif baru-baru ini dalam usaha memperkasa komuniti dan memperkukuh kebersamaan masyarakat setempat.
Program yang mendapat sokongan daripada Pusat Giat MARA Cheras, Bandar Tun Razak dan Setiawangsa ini telah menawarkan pelbagai kursus praktikal seperti masakan barat, jahitan baju kurung dan asas gunting rambut.




Inisiatif ini bukan sahaja membuka ruang pembelajaran kemahiran baharu, malah turut berjaya merapatkan jurang sosial apabila ia disertai oleh pelbagai lapisan masyarakat dalam suasana pembelajaran yang inklusif dan kondusif.
Menurut Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin, pelaksanaan program sebegini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk memastikan tiada golongan yang tercicir daripada menerima manfaat pembangunan.
“Inisiatif seperti ini telah lama bermula dan kini diperluas. Kita mahu semua rakyat, tanpa mengira latar belakang, merasai manfaat program-program kerajaan,” katanya ketika menyampaikan sijil tamat kursus kepada para peserta.
Beliau berharap agar peserta dapat memanfaatkan kemahiran yang diperoleh bukan sahaja untuk menjana pendapatan tetapi juga sebagai sumbangan kepada masyarakat – melalui perniagaan kecil, perkongsian ilmu atau khidmat komuniti.
Sementara itu, Penasihat Kelab Perintis Muda Kreatif, merangkap Penasihat Giat MARA Cheras, Mohd Ismail Mohd Nor, menyatakan bahawa sambutan yang diterima amat menggalakkan.
“Ramai peserta menyatakan hasrat untuk menyertai lebih banyak kursus selepas ini. Ini menunjukkan bahawa permintaan terhadap program kemahiran seperti ini sangat tinggi,” ujarnya.
Susulan maklum balas yang memberangsangkan, pihak penganjur bercadang memohon peruntukan tambahan bagi tahun hadapan bagi memperluaskan lagi tawaran kursus termasuk dalam bidang kecantikan wajah, urutan terapi dan teknologi komputer – bidang yang dikenalpasti mempunyai permintaan tinggi di pasaran.
Program ini turut mendapat kerjasama daripada agensi lain seperti Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) dan Selangor Agro Development Corporation (SADC) dalam memastikan pembangunan kemahiran terus diberi keutamaan dalam agenda negara.

#TVETMalaysia #KemahiranUntukSemua #KomunitiBerkemahiran #BeliaBerdaya #InklusifBersama #GiatMARA #KursusPendekTVET #IlmuUntukRakyat #PembangunanKomuniti #EkonomiRakyat
Post Comment
You must be logged in to post a comment.