Sahabat Bukit Bintang Lancar Usaha Menoktahkan Kemiskinan
KUALA LUMPUR, 21 Jun 2025 – Sebuah inisiatif oleh NGO Sahabat Bukit Bintang yang diberi nama “Menoktahkan Kemiskinan” telah dilancarkan hari ini, membuka ruang baharu kepada golongan B40 untuk menjana pendapatan segera melalui kemahiran praktikal seperti manicure dan pedicure.



Menurut pengasas program, Muhammad Amir Hussain, program ini menyasarkan individu yang menganggur, khususnya ibu tunggal di kawasan Kuala Lumpur yang terkesan dengan kos sara hidup tinggi. Program ini bertujuan memberikan kemahiran yang boleh dimanfaatkan serta-merta oleh peserta untuk memulakan perniagaan kecil atau menjana pendapatan harian.
“Program ini kita khususkan untuk mereka yang benar-benar ingin keluar daripada kemiskinan dengan usaha sendiri. Hari ini belajar, esok dah boleh mula cari rezeki,” katanya.
Pendaftaran dibuka secara umum, dan daripada lebih 100 permohonan yang diterima, hanya 50 peserta berjaya disaring untuk Siri pertama ini. Namun, Amir memberi jaminan bahawa lebih banyak peluang akan ditawarkan pada siri-siri akan datang.
Menariknya, inisiatif ini turut mendapat kerjasama strategik daripada agensi kerajaan seperti KEMAS dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), serta sokongan daripada Setiausaha Politik kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), yang turut hadir merasmikan program berkenaan.
Program ini bukan sekadar memberi latihan asas, malah turut dirancang untuk dikembangkan ke tahap lanjutan termasuk latihan pemasaran, program kesihatan seperti Zumba, dan kelas memasak serta pembuatan kek — menyasarkan sektor ekonomi mikro yang berkembang.
“Kami juga terbuka kepada kerjasama dengan universiti, kementerian dan agensi lain untuk memastikan program ini memberi impak menyeluruh, bukan sekadar satu sesi latihan. ASK — Attitude, Skills, Knowledge — akan jadi teras dalam pembangunan peserta kami,” tambah Amir.
Malah, program ini turut terbuka kepada peserta lelaki dan graduan baharu, bagi memberi peluang pembelajaran kemahiran yang bersesuaian dengan keperluan semasa industri.
Amir turut menegaskan bahawa kejayaan walau hanya seorang peserta daripada seratus tetap dianggap sebagai pencapaian bermakna bagi NGO mereka.
#MenoktahkanKemiskinan #ProgramB40 #ManicurePedicure #JanaPendapatan #KemahiranSegera #NGOMalaysia #EmpowerWanita #InisiatifKomuniti #BelajarDanBerniga #SahabatBukitBintang
Post Comment
You must be logged in to post a comment.