KUALA LUMPUR, 27 Jun 2025 – Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) terus memperkukuh komitmennya dalam memperkasa komuniti desa menerusi penganjuran Karnival Rasa Asli Desa RISDA 2025 yang berlangsung dari 27 hingga 30 Jun di Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju.
Dirasmikan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, YB Datuk Hajah Rubiah binti Haji Wang, karnival ini menghimpunkan 28 usahawan desa dari 14 negeri dengan lebih 60 produk tempatan diketengahkan. Turut hadir, YB Tuan Haji Manndzri bin Haji Nasib, Pengerusi RISDA dan Encik Zainal Azni bin Zulkifli, Ketua Pengarah RISDA.
Program anjuran Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) ini menyasarkan pengukuhan ekonomi pekebun kecil melalui pemerkasaan jenama, pemasaran, dan pembangunan jaringan perniagaan desa yang lebih mampan dan inklusif.

YB Datuk Hajah Rubiah menyatakan bahawa karnival ini bukan sekadar platform promosi makanan tradisional, tetapi adalah manifestasi kepada ekosistem ekonomi desa MADANI yang lebih menyeluruh — merangkumi aspek pembangunan warisan, inovasi penjenamaan moden dan pendekatan “dari kebun ke pasaran”.

Dalam masa yang sama, jenama RissMart 24 yang diperkenalkan oleh RISDA turut mendapat pujian KKDW kerana berjaya menjadi pelantar gaya hidup kontemporari bagi memasarkan produk luar bandar kepada golongan urban.

“Inisiatif ini memberi kesan berantai bukan hanya kepada peningkatan pendapatan pekebun kecil, tetapi juga terhadap keyakinan golongan muda desa dan kebanggaan terhadap produk tempatan,” ujar Datuk Rubiah dalam ucapannya.

KKDW turut menyatakan komitmen untuk memperluaskan pendekatan seumpama ini ke negeri-negeri lain, sekali gus memperluas manfaat kepada lebih ramai usahawan luar bandar di seluruh negara.

#RasaAsliDesa #DesaPerkasa #EkonomiDesaMADANI #RISDA2025 #ProdukTempatan #UsahawanDesa #PekebunKecil #RissMart24 #BanggaProdukKita #DesaKeBandar